Cuti

Setelah lima bulan aku menyambung pengajian aku ke universiti, kini telah tiba masanya untuk cuti semester. Inilah masanya yang ditunggu-tunggukan oleh kebanyakan pelajar universiti. Aku juga tidak terkecuali dalam hal ini.

Walaupun cuti ini amat menyeronokkan, namun minggu-minggu sebelum bermulanya cuti amatlah mendebarkan dengan minggu peperiksaan akhir semester. Apakah keputusan yang akan aku perolehi? Tunggu dan lihat sahajalah.

Hari-hari cuti aku bermula pada 12 November 2008 jam 11.30 pagi. Pada waktu itu adalah tamatnya kertas peperiksaan terakhir aku untuk semester pertama ini.


Hari cuti ini aku sambut dengan satu permulaan yang menyeronokkan. Bermula dengan bermandi manda di Hutan Lipur Sungai Pandan ataupun orang Kuantan lebih senang dengan memanggil tempat itu air terjun Panching. Aku ke sana bersama-sama dengan Kucai, Hafizah, Sapiah dan Fadilah. Memang menyegarkan. Air terjunnya juga amat dingin sampaikan aku menggigil semasa dan selepas berseronok di dalam air.

Setelah selesai di Panching, kami bergerak ke East Coast Mall (ECM). Apa motifnya pun aku tak tahulah tetapi, orang nak belanja aku dan Kucai KFC. Apa lagi, belsah sajalah. Sambil-sambil di sana, aku pun mengintai-intai MP3 player. Merisik-risik harganya. Agak munasabah harganya. Mungkin aku akan beli satu suatu masa nanti.

Jam 7.30 malam, masa untuk menggolekkan bola boling. Sudah lama aku tak menggunakan bola aku. Aku sememangnya tak menjangkakan aku akan bermain baik pada malam itu. Namun, jangkaan aku merosot. Malam itu adalah malam aku memecahkan rekod peribadi aku sendiri dengan mencecah 200 mata buat pertama kalinya. Sungguh aku tak menyangka. Namun, dengan stamina yang kurang, game ketiga aku sungguh menyedihkan. Permainan aku merosot kerana kepanatan.

Selesai permainan boling, kami layan karoke 'jamban' pula. Sebelum ini, aku sememangnya tidak berminat langsung dengan karoke 'jamban'. Namun, aku fikirkan, ini adalah malam untuk aku bergembira bersama-sama dengan rakan-rakanku, maka aku ketepikan pemikiran aku untuk seketika. Enam lagu memang memenatkan. Ini semuanya kerja si Hafizah dan Fadilah. Walau apapun, aku memang gembira pada malam itu.

Jam 10.30 malam menunjukkan kami perlu ke Terminal Makmur untuk menghantar Sapiah. Basnya akan bertolak pada jam 11.00 malam. Kami berkumpul untuk kali terakhir untuk semester ini dan untuk tahun ini. Kami berpisah dengan Sapiah setelah basnya sudahpun bertolak dan aku berpisah dengan Kucai, Hafizah dan Fadilah semasa mereka mahu pulang ke kampus dan aku pulang ke rumah.

Selamat bercuti kawan-kawan. Semoga berjumpa lagi untuk semester hadapan.

Post a Comment

0 Comments