Informasi: Chikungunya


Penyakit Chikungunya

Penyakit Chikungunya adalah penyakit jangkitan virus yang disebarkan oleh gigitan nyamuk Aedes. Gejala utama jangkitan adalah demam panas, rasa sakit yang teruk pada sendi terutamanya sendi kecil dan ruam. Chikungunya tidak menyebabkan kematian dan adalah ’self-limiting’ ataupun sembuh dengan sendiri. Pesakit cuma memerlukan rawatan simptomatik dan rehat secukupnya, namun gejala sakit sendi boleh berlarutan bagi pesakit yang telah berumur. Rawatan hospital hanyalah untuk keadaan tertentu sahaja. Pesakit kebiasaannya memperoleh imuniti sepanjang hayat. Sepertimana jangkitan virus lain, tiada ubat khusus atau vaksin untuk penyakit Chikungunya. Cara paling berkesan untuk mengelakkannya adalah dengan mengawal pembiakan nyamuk aedes di persekitaran kita.

Disediakan oleh: Dr. Azlan Darus - Penolong Pengarah Kanan (CPBV), Bahagian Kawalan Penyakit, Kementerian Kesihatan Malaysia. ( 30 Julai 2008)

Disemak oleh : Ahmad Safri Bin Mokhtar - b/p Timbalan Pengarah Kawalan Penyakit , Kementerian Kesihatan Malaysia.

*Ruj: http://blogmoh.moh.gov.my/


**********

FAKTA-FAKTA MENGENAI PENYAKIT CHIKUNGUNYA

1. Apa itu Penyakit Chikungunya?
Chikungunya adalah sejenis penyakit bawaan nyamuk.

Chikungunya pertama kali dikesan melalui ujian darah di Tanzania pada tahun 1953. Semenjak itu ia berlaku di negara-negara Afrika, Asia dan akhir-akhir ini ia berlaku di beberapa buah tempat di Negara Eropah. Ia endemik (selalu berlaku) di kebanyakan negara Sub Sahara Afrika, India, Asia Tenggara, Indonesia dan Filipina.

Ia bukanlah satu penyakit misteri yang tidak diketahui puncanya.

2. Bagaimana penyakit ini boleh berlaku?
Chikungunya adalah demam yang disebabkan oleh virus daripada genus Alphavirus di dalam keluarga Togaviridae.

3. Adakah ia berjangkit?
Ya. Virus Chikungunya berjangkit melalui gigitan nyamuk Aedes albopictus atau Aedes aegypti yang membawa virus tersebut. Nyamuk Aedes juga menyebarkan virus penyakit demam denggi.

4. Apakah masa pengeraman bagi Chikungunya?
Masa pengeraman bagi Chikungunya boleh menjangkau dari 3 hingga 12 hari tetapi pada kebiasaannya di antara dari 3 hingga 7 hari.

5. Apakah tanda-tanda dan gejala penyakit ini?
• Demam panas mengejut
• Sakit teruk pada sendi
• Ruam pada badan
• Sakit kepala

Seorang pesakit boleh demam dari dari 1 hingga 7 hari (kebiasaannya 5 hari).

Penyakit Chikungunya boleh disalah anggap sebagai demam denggi kerana tanda-tanda penyakit yang menyerupai demam denggi.

6. Adakah penyakit ini boleh membawa maut?
Di Malaysia, Chikungunya tidak pernah dilaporkan boleh menyebabkan pendarahan atau kematian. Tetapi, sesetengah pesakit mengalami gejala yang berpanjangan.

Pesakit yang berumur boleh mengalami kesakitan berulang pada sendi sehingga beberapa bulan atau tahun.

7. Apakah rawatan bagi penyakit ini?
Seperti penyakit-penyakit yang disebabkan oleh virus, ia tiada rawatan yang khusus. Selalunya rawatan diberi berdasarkan gejala klinikal yang dialami oleh seseorang pesakit.

Kebanyakan kes yang terjadi hanya memerlukan rawatan pesakit luar sahaja.

Tiada vaksin bagi penyakit ini.

8. Apakah yang perlu dilakukan jika dijangkiti penyakit?
Jika mengalami tanda-tanda dan gejala penyakit Chikungunya, orang ramai adalah dinasihatkan segera mendapatkan rawatan di klinik atau hospital terdekat.

9. Cara pencegahan penyakit Chikungunya
• Bersihkan kawasan rumah dan persekitaran supaya bebas daripada tempat-tempat pembiakan nyamuk Aedes. Ini boleh dilakukan melalui aktiviti gotong royong. Adalah terbukti tiada kes baru yang dilaporkan di kawasan-kawasan yang melakukan gotong- royong.

• Periksa rumah dan persekitaran sekurang-kurangnya seminggu sekali untuk memastikan tiada pembiakan nyamuk Aedes.

• Dapatkan rawatan dengan segera di klinik atau hospital berdekatan sekiranya mengalami tanda dan gejala penyakit.

10. Bolehkah kawasan saya dijangkiti penyakit Chikungunya?
Boleh, kerana penyakit ini dibawa oleh nyamuk Aedes albopictus dan Aedes aegypti yang terdapat di negara kita.

11. Situasi semasa penyakit Chikungunya di seluruh negara
Sila rujuk kenyataan akhbar.

12. Tindakan Kementerian Kesihatan
Langkah – langkah kawalan yang telah diambil:
• Pengesanan kes secara aktif
• Melakukan kajian Aedes
• Semburan kabus dan ULV
• Aktiviti gotong-royong bersama masyarakat setempat
• Aktiviti promosi kesihatan

Kejadian penyakit ini adalah terkawal dan terhad kepada kawasan-kawasan tertentu sahaja.


Untuk maklumat lanjut sila hubungi:
Bilik Gerakan
Bahagian Kawalan Penyakit
Kementerian Kesihatan Malaysia
Aras 3, Blok E10, Parcel E,
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan
62590 Putrajaya
No. Tel. : 03-8881 0600 / 03-8881 0700
Laman web: www.moh.gov.my

PATUHILAH ARAHAN YANG DIBERI OLEH ANGGOTA KESIHATAN

Disediakan oleh:
Bahagian Kawalan Penyakit,
Kementerian Kesihatan Malaysia

*Ruj: http://www.moh.gov.my/opencms/export/sites/default/moh/download/chikugunya.pdf
: http://www.moh.gov.my/opencms/opencms/moh/Fakta_Chingkunya.html

**********

PENGARAH KAWALAN PENYAKIT
KEMENTERIAN KESIHATAN MALAYSIA

SITUASI SEMASA JANGKITAN CHIKUNGUNYA DI MALAYSIA
Bagi Minggu Epid 1/2009 (4 hingga 10 Januari 2009)

Bagi tempoh 4 hingga 10 Januari 2009, sejumlah 159 kes
Chikungunya telah dilaporkan tanpa sebarang kes melibatkan kematian.
Daripada jumlah tersebut, seramai 74 (45.5%) pesakit Chikungunya
hanya mendapatkan rawatan pesakit luar dan selebihnya memerlukan
rawatan di hospital.

159 kes yang dilaporkan melibatkan 141 lokaliti di 10 negeri iaitu
Selangor (44 kes), Perak (32 kes), Kelantan (28 kes), Kedah (15 kes),
Pahang (14 kes), Johor (11 kes), Negeri Sembilan (6 kes), Pulau Pinang
dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (masing-masing 4 kes) dan
Perlis (1 kes). Pemeriksaan terhadap lokaliti terbabit mendapati lokaliti
yang melaporkan kes mempunyai kadar pembiakan nyamuk Aedes yang
tinggi yang telah mempermudah penularan penyakit Chikungunya.
Tempat-tempat pembiakan nyamuk Aedes yang biasa ditemui adalah di
sampah-sampah dan barang buangan atau terbiar yang mampu
menakung air, selain daripada tempat-tempat pembiakan dalam rumah
seperti pasu bunga, alas pasu dan kolah.

Pada minggu yang sama, sebanyak 1381 rumah telah dikenalpasti
untuk dijalankan semburan kabus tetapi hanya 827 rumah atau 59.8%
dapat dilaksanakan dengan efektif dan efisien. Selain itu, 141 aktiviti
gotong-royong dirancang bagi minggu tersebut tetapi tiada yang dapat
dilaksanakan. Berdasarkan situasi tersebut, kerjasama penduduk
tempatan dalam bersama-sama mengawal jangkitan Chikungunya
bolehlah dianggap belum mencapai tahap optimum.

Bagi tempoh dua minggu, Kerajaan telah membelanjakan RM1.7
juta bagi menjalankan kempen melalui media massa bagi meningkatkan
kesedaran anggota masyarakat mengenai penyakit Denggi dan
Chikungunya. Sehubungan itu, masyarakat diharapkan dapat
memberikan kerjasama dan tindakbalas yang lebih positif terhadap
pelbagai usaha yang dijalankan oleh kerajaan dalam membasmi penyakit
Denggi dan Chikungunya. Selain itu, orang ramai juga perlu memberi
kerjasama yang sepenuhnya semasa kerja semburan kabus dijalankan
dengan memberikan keizinan untuk membuat semburan di dalam rumah
mereka. Kerjasama ini boleh membantu KKM dalam usaha menyekat
penularan penyakit Chikungunya.

(DATO’ DR. HASAN BIN ABDUL RAHMAN )
Pengarah Kawalan Penyakit
Kementerian Kesihatan Malaysia
Tarikh: 13 Januari 2009



*Ruj: http://www.infosihat.gov.my/menuutama/KENYATAAN_Chikungunya%2010%20jan%2009.pdf

**********

Rujukan-rujukan tambahan & kenyataan akhbar:
1. http://www.moh.gov.my/MohPortal/DownloadServlet?id=2435&type=2
2. http://jknkedah.moh.gov.my/modules/news/article.php?storyid=99&sel_lang=english
3. http://www.myhealth.gov.my/story_docs/alerts/RisalahChikungunya.pdf
4. http://www.myhealth.gov.my/story_docs/currentIssue/Chikungunya_BM.pdf
5. http://www.myhealth.gov.my/story_docs/alerts/Chiku_BM.pdf

Sumber Berita : The Star, 2008-07-15, Posted on July-17-2008 12:01 am
Chikungunya Fever


Penyakit Denggi dan Chikungunya semakin meningkat di negara kita. Kita mesti bertindak sekarang!

Luangkanlah 10 minit setiap minggu terutamanya pada hujung minggu untuk
memastikan tiada pembiakan nyamuk aedes di rumah anda.

Ambil langkah-langkah berikut :-
· Cari dan hapuskan pembiakan aedes di rumah anda
· Cuci serta sental semua alas pasu bunga dan bekas jambangan bunga
· Buang sampah sarap dengan betul
· Masukkan bahan pembunuh jentik-jentik ke dalam bekas takungan air
mengikut arahan pengeluar
· Bersihakn rumah anda dan kawasan sekelilingnya

Lindungilah ahli keluarga anda. Pastikan anda meluangkan 10 minit setiap
minggu untuk mencegah Denggi dan Chikungunya.

**********

Post ini disiarkan untuk memenuhi permintaan sahabat aku yang sekarang berada di Mesir untuk mengetahui serba sedikit maklumat tentang Chikungunya.

Kepada seluruh rakyat Malaysia, teruskanlah usaha untuk membanteras Chikungunya dari terus merebak.

Post a Comment

0 Comments