Selamat Ulang Tahun ke-47 Malaysia.

Sumber: http://aniesshahira.blogspot.com/
Hari Malaysia disambut pada 16 September setiap tahun untuk memperingati penubuhan persekutuan Malaysia di tarikh yang sama pada tahun 1963. Ia menandakan penyertaan bersama Malaya, Borneo Utara, Sarawak, dan Singapura bagi membentuk Malaysia.

Pembentukan persekutuan baru ini dirancangkan berlaku pada 1 Jun 1963 namun kemudiannya ditangguhkan ke 31 Ogos 1963 bagi membolehkan ia disambut bersama-sama dengan sambutan hari kemerdekaan ke-6. Beberapa isu berkaitan dengan bantahan Indonesia dan Filipina untuk pembentukan Malaysia memperlambatkan pengisytiharan ke 16 September pada tahun yang sama. Penangguhan itu juga dibuat bagi membolehkan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu memperuntukkan masa membuat pungutan suara di Borneo Utara (kini Sabah) dan Sarawak.

Hari Malaysia merupakan cuti am di negeri Sabah sempena hari keputeraan Yang Di-Pertua Negeri. Ia bukan merupakan cuti am di Sarawak dan Semenanjung Malaysia. Mulai tahun 2010, Hari Malaysia juga merupakan cuti am di semua negeri di Malaysia.

Sumber: Wikipedia

-----

Itulah ringkasan maklumat tentang Hari Malaysia. Ramai yang tak menyedari bahawa 16 September merupakan ulang tahun 'kelahiran' sebuah negara yang bernama Malaysia, bukannya 31 Ogos. Untuk pengetahuan umum, 31 Ogos adalah hari kemerdekaan Tanah Melayu ataupun Malaya dengan nama Persekutuan Tanah Melayu dari jajahan British. Pada masa itu, hanya empat Negeri-Negeri Bersekutu, lima Negeri-Negeri Tak Bersekutu dan dua Negeri Selat sahaja yang mencapai kemerdekaan daripada British.

Persekutuan Malaysia pula hanya diwujudkan pada 16 September dengan menggabungkan 11 negeri dalam Persekutuan Tanah Melayu (Malaya) dengan Singapura, Sabah dan Sarawak. Maka, dengan penggabungan inilah Malaysia wujud.

Namun begitu, sedarkah kita bahawa kita telah menghadapi pelbagai cabaran dan rintangan sebelum negara Malaysia digagaskan? Kepada yang masih belum sedar, negara kita diancam oleh Filipina dan Indonesia yang menentang penubuhan negara Malaysia. Indonesia dengan motto 'Ganyang Malaysia' manakala Filipina menuntut tanah di Borneo Utara (Sabah) yang dipercayai dikuasai oleh kerajaan kesultanan Sulu. Setelah Soeharto mengambil alih pemerintahan di Indonesia, barulah tamat konfrontasi Indonesia terhadap Malaysia.

Namun begitu, bukan ini sahaja kisah yang dihadapi Malaysia, Singapura yang mencapai kemerdekaan daripada British melalui penubuhan Malaysia juga telah menadi duri dalam daging terhadap Malaysia. Masalahnya bukanlah Singapura, tetapi pemimpin People's Action Party, Lee Kuan Yew yang telah melaga-lagakan hubungan antara kaum Melayu dan Cina di Malaysia dengan melancarkan perjuangan Malaysian Malaysia. Kerugian yang terpaksa ditanggung oleh orang Melayu adalah kehilangan tanah Singapura dari kuasa politik orang Melayu.

Pada zaman ini juga, aktiviti keganasan komunis juga masih berleluasa di Malaysia. Kerajaan Malaysia bertungkus lumus untuk menghentikan keganasan komunis yang masih belum ada jalan penyelesaian. Gerakan komunis di Malaysia hanya tamat pada tahun 1989 setelah perjanjian damai Parti Komunis Malaya dengan Kerajaan Malaysia dimaterai.

Malaysia kini sudah berumur 47 tahun. Dengan kemajuan yang telah kita kecapi pada hari ini, marilah kita sama-sama menghayati makna kemerdekaan dan perpaduan. Tanpa Malaysia, tiada tempat untuk kita berteduh. Kegigihan insan dan pemimpin sebelum kita untuk memperjuangkan hak kemerdekaan bangsa dan rakyat Malaysia serta membawa kemajuan dan pembangunan kepada rakyat telah menjadikan Malaysia antara negara yang terkemuka di Malaysia. Marilah kita sama-sama ketepikan perbezaan ideologi dan warna kulit untuk bersama-sama bersatu memajukan negara kita.

Selamat hari jadi Malaysia!

*****

Nota kaki:
1. Kejayaan yang ditunggu-tunggu oleh rakyat Malaysia:
  • Memenangi semula Piala Thomas
  • Pasukan bola sepak Malaysia layak ke Piala Dunia

Post a Comment

0 Comments