Kembar Si Penghulu (Bahagian 4)

Aku kini tiba di Kapit. Sebuah tempat yang agak terpencil di Sarawak. Kepenantan menaiki bot ekspres selama tiga jam sangat terasa terutamanya rasa segal-sengal di pinggang dan kebas di punggung. Belum sempat penat itu hilang, aku ditegur oleh seorang lelaki yang umurnya kira-kira separuh abad.

"Kamu ni Fadzrul, kan?"

Aku terkejut. Sejak bila pula ada orang yang aku kenal di Kapit ini sedangkan inilah pertama kali aku menjejaki bumi Kapit. Takkanlah pula ada lelaki separuh abad boleh mengenali aku?

"Y... ya, saya Fadzrul. Pak cik ni siapa?" balas aku.

"Tak perlulah tanya siapa saya. Saya cuma mahu memberi tahu, kami semua gembira kamu pulang ke sini," jawab lelaki itu.

"Sini? Pulang? Ini pertama kali saya sampai di Kapit. Kenapa pak cik berkata begitu?" tanya aku kembali dengan penuh kehairanan.

"Sini maksud saya, Bumi Kenyalang. Seluruh penduduk Bumi Kenyalang sangat gembira dengan kepulangan kamu," jawab lelaki itu lagi. Belum sempat aku bertanya soalan lagi kepadanya, dia terus berlalu pergi kemudian hilang dari pandangan.

Aku tercengang seperti tunggul batu dengan minda berpusing-pusing cuba memahami kata-kata pak cik itu tadi.

'Bup!' belakang aku ditepuk.

"Syam, apa termenung lagi? Jom masuk ke dalam van tu," sergah Saiful yang menghentikan lamunan aku tadi.

"Y... ya. Kejap, aku nak simpan beg dulu."


*****

Aku tiba di Rumah Panjai Ukan pada waktu Maghrib. Betul-betul matahari terbenam di ufuk Barat. Banyak aktiviti sambutan peserta program dijalankan oleh penghuni rumah ini. Dalam kesibukan dan keasyikan peserta dan penghuni rumah meraikan keraian itu, aku tiba-tiba ditegur oleh seorang wanita yang kira-kira dua kali umurku.

"Kamu datang dari mana?"

"Dari Pahang. Dari Semenanjung sana," balas aku.

"Umur kamu berapa?" tanyanya lagi.

"21 tahun."

"Baguslah. Patut pun semuanya gembira," kata wanita itu.

"Apa yang gemb... ," belum sembat aku menghabiskan soalan aku, aku diajak kawan-kawan peserta lain untuk bersama-sama membasuh pinggan mangkuk yang digunakan untuk makan malam tadi.

"S... saya pergi dahulu, ya. Ada kerja," kataku sambil menoleh kembali kepada wanita itu. Selesai sahaja menoleh, rupa-rupanya wanita itu dah melangkah pergi. Aku menyertai kawan-kawanku untuk menyelesaikan tugas yang diberi.

Jam menunjukkan pukul 12.30 pagi. Beberapa peserta dan penghuni rumah panjang masih lagi berseronok. Ada juga yang sudah menutup tirai hari mereka dengan tidur. Aku pula sedang duduk sendirian, melihat kehidupan malam yang aku tidak fikir akan ditamatkan dalam tempoh terdekat ini. Aku keluar rumah seketika, melihat kawasan semak dan hutan di sekeliling rumah yang gelap. Tidak banyak yang aku nampak dalam kegelapan itu.

Dalam keasyikan aku memerhatikan alam sekeliling, satu suara dari belakang menegur aku.

"Apa yang kamu fikirkan?"

Aku menoleh, dan mendapati wanita yang menegur aku tadi sedang melangkah perlahan di belakang aku.

"Oh... tak. Tak ada apa-apa. Cuma melihat keliling. Ingat nak lihat bintang, tapi awan tebal pula," balas aku.

Kami berdua mendiamkan diri seketika. Kemudian, wanita itu bersuara lagi.

"Sudah lama Bumi Kenyalang ini tidak segembira ini,"

"Kenapa? Sebelum ini?" tanya aku kepadanya.

"Gembira juga, tetapi tak segembira ini. Kamu pulang untuk mengambil hak kamukah?" tanya wanita itu kepadaku.

"Hak? Hak apa?"

"Kamu tidak tahu lagi? Kamu belum berjumpa dengannya?"

"Tahu apa? Berjumpa dengan siapa?" aku bertanya lagi soalan kepadanya. Aku masih tidak berpuas hati kerana semua soalan yang aku lemparkan semuanya tidak terjawab.

"Oh... saya ada hal untuk diselesaikan. Kalau kamu pulang untuk mengambil hak kamu, mahu saya ingatkan kepada kamu. Berjaga-jagalah dengan kembara kamu ini. Sesuatu akan berlaku kepadamu. Saya pergi dulu," kata wanita itu dan berlalu pergi meninggalkan aku yang kehairanan sambil cuba untuk memahami apa maksud kata-katanya itu tadi.

Sejurus itu, aku masuk semula ke dalam rumah panjang dan bersembang dengan keluarga angkat aku.

*****

Kini tiba masa untuk keluar dari Rumah Panjai Ukan dan meneruskan perjalanan ke Miri. Sebelum aku keluar dari rumah itu, wanita yang menegur aku semalam membisikkan aku sesuatu, "apa yang akan berlaku kepadamu nanti adalah ujian sebelum kamu mendapat hak kamu. Sebelum berbuat apa-apa, kamu sentiasa ada pilihan. Pilihlah yang terbaik untuk kamu. Semoga Bumi Kenyalang sentiasa aman dan harmoni."

Sejurus itu, aku meninggalkan Rumah Panjai Ukan dan keluar dari Kapit.

Perjalanan yang lama ke Miri aku ambil kesempatan untuk berehat sepenuhnya. Namun begitu, aku masih lagi tidak dapat melelapkan mata memandangkan apa yang telah berlaku kepadaku sebelum ini.

Tibanya di Miri, semua peserta program bermalam di Perkampungan Sukan Petronas. Tempatnya agak sunyi. Bak kata salah seorang peserta program, tempat ini agak seram. Aku tidak menghiraukan kata-katanya kerana tidak ada bezanya seram atau tidak. Dengan ringkas, aku berkatanya, "aku tak percayalah benda tahyul ni. Rileks sudah."

Tempat bermalam kami adalah dorm dengan 16 orang sebilik. Bilik lelaki diperuntukkan sebanyak dua bilik. Walaupun agak penat, tetapi aku masih belum rasa untuk melelapkan diri. Aku mundar mandir di dalam bilik untuk menghilangkan bosan. Aku melihat di dalam bilik air, ada beberapa orang masih menyelesaikan 'tanggungjawab' masing-masing. Ada juga yang merajinkan diri membasuh pakaian. Kemudian aku membuka pintu belakang dorm untuk melihat keadaan di belakang dorm.

Keadaan di belakang dorm agak tidak terurus dengan daun-daun mati bertebaran di kawasan lapang. Rumput-rumput juga agak tinggi melepasi buku lali. Aku duduk di kaki lima dorm sambil melihat sekeliling dan mengharapkan langit tidak dilitupi awan. Namun, hajatku tidak tercapai. Awan masih tebal kerana baru sahaja dilanda hujan lebat sekejap tadi.

Dalam keheningan malam itu, Bert datang dan duduk di sebelah aku.

"Aih, termenung ingat buah hati ke?" tanya Bert dalam nada berseloroh.

"Haha... adalah sedikit. Aku tengah runsing ni."

"Apa yang kau runsingkan tu? Cuba kau ceritakan sikit."

"Alah, kalau aku cerita pun kau bukan percaya," balas aku.

"Oh, ni mesti pasal kejadian pagi tu?"

"Tak juga. Ada lagi pelik yang aku runsingkan."

"Oh... jangan risau. Kau akan selamat. Cuma nanti kau kena buat pilihan yang betul," balas Bert.

"Pilihan? Pilihan apa?"

"Iyalah. Takkan kau tak perasan dengan apa yang berlaku sejak kau jejak kaki di Bumi Kenyalang?"

"Oh, selama ni kau dah tahulah ni?" tanya aku kepada Bert.

"Aku tahu sejak kau datang lagi. Kau saja yang tak perasan."

"Aku nak tanya sesuatu, apa hak yang mereka maksudkan? Kau tahu apa-apa?" tanya aku lagi.

"Oh, hak? Sebelum aku ceritakan kepada kau. Kau ingat apa yang berlaku kira-kira 18 tahun lalu?"

"18 tahun lalu? Masa tu aku baru tiga tahun. Mana aku nak ingat?!"

"Cuba kau ingat kembali. Aku tahu, ada sesuatu pernah berlaku kepada kau."

Aku mendiamkan diri. Cuba mengingatkan apa yang berlaku 18 tahun lalu. Setelah mengimbas ingatan aku....

"Hah, aku dah ingat! Aku dah ingat apa yang pernah berlaku masa tu!"

"Ceritalah!" kata Bert yang menyuruh aku menceritakan kejadian yang berlaku pada 18 tahun lalu.

"Masa tu...."

Post a Comment

0 Comments