Kembar Si Penghulu (Bahagian 6)

"Kamu?" aku bersuara dalam kehairanan.

Gadis itu berjalan perlahan menghampiriku lalu duduk di sebelahku di atas bangku yang sama. Aku yang masih bersandar malas menukar posisi badanku kepada tegak.

"Maafkan saya atas pertemuan kita sebelum ini. Saya tidak memperkenalkan diri sebaiknya," kata gadis itu.

"Jadi, siapakah dirimu? Mengapa kamu selalu muncul di hadapan saya?" tanya aku kepadanya.

"Nama saya Sutera. Kalau kamu masih ingat, pertemuan pada pagi itu, bukanlah pertama kali kita bertemu. Kita pernah bertemu 18 tahun lalu," balas gadis itu. Kini, barulah aku mengenali dirinya. Pada masa yang sama, aku kembali terimbas kisah 18 tahun yang lalu ketika aku mula-mula mengenali mukanya. Walaupun agak samar-samar, tetapi aku yakin dialah orang yang sama.

"Apa yang kamu mahukan dari aku? Mengapa kau mencari aku?" tanya aku lagi.

"Aku tidak mahu apa-apa dari kamu, malah aku yang akan memberikan kepadamu. Hak kamu. Seperti yang telah kita janjikan suatu masa lalu," terang Sutera.

"Hak? Hak apa yang kamu maksudkan? Dari dulu orang kata tentang hak, tetapi saya masih tak tahu apa yang dimaksudkan dengan hak?" tanya aku lagi.

"Memanglah mereka tidak boleh menceritakannya, kerana mengikut perjanjian kita, saya seorang sahaja yang boleh memberi tahu kepada kamu."

"Perjanjian apa pula ni? Saya tak faham! Cuba cerita dari awal supaya saya faham," tegas aku.

"Baiklah. Pada pertemuan kita untuk pertama kali, kita pernah membuat perjanjian untuk melepaskan dirimu ke dunia kamu. Masih ingatkah kamu dengan kota di dasar sungai itu?"

"Y... ya. Saya ingat. Kenapa dengannya?"


"Itulah dunia saya. Ketika saya bermain-main di permukaan, saya terlihat kamu bermain berseorangan. Pada pandangan itu, saya sudah jatuh hati dengan kamu. Aku ingin mengambilmu untuk dibawa ke dunia saya. Maka kemudiannya, kamu saya ambil dan dibawa berjumpa dengan bonda. Kamu pasti ingat akan kain ini. Inilah kain milik kamu ketika itu. Sengaja saya simpan untuk mengingati kamu dan mengharap kamu datang mengambil hak kamu nanti" cerita Sutera dengan penuh perinci sambil menyerahkan sehelai kain seperti sarung tangan berwarna biru. Kain itu telah lama dicari oleh kakak aku kerana itu adalah kain yang aku sukai ketika kecil dahulu. Malangnya, kain ini hilang ketika aku tenggelam di sungai 18 tahun lalu.

"Ayahanda dan bonda sangat gembira dengan kehadiranmu. Begitu juga dengan Indra."

"Siapa Indra?"

"Indra adalah penjaga saya. Dia menjaga saya sejak saya kecil lagi. Kamu takkan pernah nampak wajahnya kerana dia sememangnya tidak memiliki wajah yang tetap. Biar saya kenalkan dia kepadamu," cerita Sutera lagi kepada aku.

Seketika kemudian, aku ternampak Bert berjalan mendekati kami dengan senyuman.

"Bert! Memang tak syak lagi. Kau memang pandai menyimpan rahsia! Sampaikan sengaja kau berlakon tidak mengetahui apa yang kita bincangkan! Lega aku!" kata aku dengan senyuman, sambil bangun dan bersalamnya. Robert hanya diam sahaja.

"Itu bukan Bert kamu. Dia memang tak tahu apa-apa. Dia inilah Indra. Sengaja dia memunculkan dirinya sebagai Bert kamu. Supaya kamu tidak syak apa-apa. Dia boleh menjelma sebagai sesiapapun untuk berada berdekatan dengan kamu. Seharusnya, dia menggunakan wajahmu. Dia diperintahkan oleh ayahanda untuk mengawalmu untuk dijauhkan dari Gagak."

"Gagak? Kenapa dengan Gagak? Saya tak takut dengan sebarang jenis burung."

"Bukan itu yang dimaksudkan. Gagak itu adalah bapa saudara saya. Dia akan cuba untuk menghalang kamu dari mendapatkan hak kamu. Jika kamu masih ingat, kamu pernah diserang Gagak ketika kamu berusia 16 tahun. Ketika itu, kamu diserang pada waktu tidurmu sehinggakan kamu memuntahkan segala apa yang ada di dalam kantung perutmu. Bukan sekali, tetapi dua kali dan ada juga tentera dibawanya untuk menyerang kamu. Mujurlah nenek kamu mampu menentang mereka," cerita Sutera lagi. Aku teringat kisah itu. Pada malamnya, aku termuntah-muntah pada malam itu tanpa sebab. Nenek aku merawat aku dengan cara tradisional dan dia memberi tahu ada enam roh yang datang kepada aku. Selepas itu, ketika aku mahu menyambung tidur, aku diserang sekali lagi dan dirawat sekali lagi. Kali ini, ada empat lagi roh yang datang kepadaku. Aku yang tidak mempercayai hal-hal tahyul sememangnya tidak mengambil berat tentang ini.

"Berkenaan dengan hak pula, apa hak saya yang kamu katakan ni? Apa pula kaitannya dengan perjanjian yang kamu katakan?"

"Hak kamu adalah segala yang ayahanda dan bonda berikan padamu suatu ketika dahulu, perjanjian pula adalah perjanjian kita yang dibuat untuk melepaskan kamu ke dunia kamu," jawab Sutera lagi.

"Perjanjian ini berlaku kerana ketika kamu di dalam dunia saya, kami diminta untuk memulangkan kamu ke dunia kamu. Antara perjanjian yang telah ditetapkan ialah kamu harus kembali ke Bumi Kenyalang selepas kamu berumur selepas 20 tahun untuk mengambil hak kamu. Keduanya, jika kamu mengambil hak kamu, seluruhnya dengan mengikut syaratnya, maka kamu boleh berbuat sesuka hati kamu. Jika kamu mengambil hak kamu sebahagiannya, separuh dari hayatmu akan menjadi milik ayahanda dan bonda. Ketiganya, jika kamu menolak, seluruh hayatmu akan menjadi milik ayahanda dan bonda melainkan dengan satu syarat yang akan diberitahu kelak."

"Perjanjian apa ni? Mana boleh aku serahkan nyawa aku begitu sahaja?"

"Maafkan saya. Itulah perjanjiannya. Tiada apa yang boleh saya bantu," jawab Sutera.

Aku memandang ke hadapan menhadap sungai yang mengalir di hadapan aku sambil memikirkan apa yang diperkatakan Sutera sebentar tadi. Tiba-tiba....

"Indra! Jaga-jaga!" jerit Sutera kepada Indra. Indra ditikam dari belakang dengan sebilah keris oleh seorang yang berselubung hitam dengan muka yang dilitupi kain.

"Ind... Indra. Bedebah kau, Gagak!" jerit Sutera dan bangkit untuk mendapatkan Indra. Malangnya, Indra lenyap menjadi asap putih. Sutera berhenti untuk cuba mendapatkan Indra. Wajahnya yang tenang dan ayu sebelum ini berubah kesedihan atas apa yang berlaku kepada Indra. Aku masih buntu dengan apa yang sedang berlaku kepadaku. Dengan pantas aku bangkit dari bangku dan mendekati Sutera untuk menenangkannya.

"Hahaha! Indra kini bukan lagi ancaman aku! Masalah aku sekarang hanya tinggal kau sahaja, Hisyam! Hahaha!" kata Gagak dengan bangganya sambil mengacu keris yang digunakan untuk menikam Indra. Dengan segera itu juga, Gagak cuba untuk menyerang aku. Aku terpaku dengan tindakannya. Mujurlah Sutera pantas menangkis serangannya. Malangnya, dengan tipu helah Gagak, Sutera terperangkap dan diterkam oleh Gagak. Sutera dipeluk dari belakang dan keris Gagak diletakkan di leher Sutera. Sutera tidak lagi mampu berbuat apa-apa.

"Hisyam, cis. Nama apakah kamu ini? Dunia yang ganjil! Hisyam, jikalau kau berani dan mahu menyelamatkan hak kamu ini, bersedialah untuk malam nanti. Akan aku muncul di hadapan kau bila-bila masa sahaja aku suka! Hayat kau pasti akan tamat malam nanti! Hahaha!" kata Gagak dengan penuh bongkak.

Aku yang masih tercengang terpaku tidak boleh berbuat apa-apa. Jika salah langkah, apa-apa boleh berlaku kepada Sutera. Sejurus itu, Gagak dan Sutera lenyap dari pandangan aku. Aku cuba berlari mendekati Sutera tetapi gagal.

"Suteraaa!" aku cuba mendapatkan Sutera. Malangnya, aku tidak sempat untuk mendapatkannya. Aku duduk di bangku semula dan menundukkan muka ke tanah tanda kekecewaan. Apabila aku mengangkat muka aku, aku mendapati bahawa orang-orang di sekeliling aku kehairanan melihat aku yang bersikap ganjil di bangku yang sedang aku duduk. Ada yang tergelak kecil melihat aku. Pada masa yang sama, aku pula berasa hairan bagaimana boleh ada orang di sekeliling aku, sedangkan kawasan itu tidak ada orang yang melaluinya langsung ketika aku bersama Sutera.

"Eh, kau mengigau ke apa tadi? Tiba-tiba terjerit seorang di sini," terdengar aku satu suara dari sisi kiri aku. Aku kenal suara itu. Rupa-rupanya, Pian yang bersuara sambil datang mendekatiku.

"Sutera? Apa... kau mengigau siang tiba-tiba jerit Sutera? kalau nak kain sutera, banyak kedai ada jual. Haha!" sindir Pian atas apa yang berlaku tadi.

"Eh... Sutera? Oh... tak ada apa-apa. Aku mengigau sebab penat kot. Hihi...," balas aku dengan ketawa kecil.

"Sudahlah. Jom, kita ada sejam lagi nak membeli belah. Jom teman aku," ajak Pian.

"Baiklah," balas aku yang masih separuh waras.

"Mungkin aku mengigau," tambah aku lagi, bermonolog sendirian. Namun begitu, ada sesuatu yang menambah kemusykilan kepada aku. Di tanganku ada sehelai kain berwarna biru seperti yang diserahkan oleh Sutera sebentar tadi.

"Kalau aku mengigau, bagaimana kain ini boleh ada di sini?" tertanya aku sendirian sekali lagi.

Post a Comment

0 Comments