Datuk: K Rajagobal masih belum layak

Sumber: Flikr.com oleh angah316
Jurulatih skuad Harimau Malaya, K Rajagobal sememangnya hebat dan prestasinya sepanjang tiga tahun selepas mengambil alih pasukan bola sepak negara amat memberangsangkan, memandangkan di bawah kendalian beliau, pasukan bola sepak negara berjaya memperoleh pingat emas Sukan Sea 2009 dan Piala Suzuki AFF 2010. Selain itu juga, beliau telah menunjukkan kehebatannya melatih pasukan kebangsaan untuk berjaya memberikan saingan hebat kepada pasukan Manchester United dengan kekalahan tipis 3-2 dan juga berjaya mengalahkan pasukan Korea baru-baru ini.

Selepas kejayaan pasukan Malaysia menjuarai Piala Suzuki AFF, banyak orang memberikan cadangan untuk memberikan anugerah Datuk kepada K Rajagobal. Antara individu yang telah menyuarakan pendapat ini ialah Presiden MIC, Datuk G. Palanivel.

Walaupun banyak kejayaan yang diperoleh oleh beliau sejak mengambil alih skuad kebangsaan, namun begitu pada pendapat aku sendiri menyatakan bahawa beliau masih belum layak untuk menerima anugerah Datuk. Ini disebabkan oleh skuad negara baru sahaja memenangi dua kejohanan utama di peringkat Asia Tenggara dan kejayaan ini pernahpun dicapai oleh pasukan kebangsaan pada tahun-tahun sebelum ini. Bagi aku, walaupun situasi ini boleh dikatakan sebagai 'kebangkitan semula' Harimau Malaya, namun begitu secara literalnya, kejayaan ini hanyalah sama sahaja dengan sebelum ini.

Pendapat aku ini bukanlah dibuat berdasarkan penilaian mengikut perasaan gembira pasukan negara berjaya menjadi 'Raja Baharu' dalam bola sepak di Asia Tenggara malah aku memikirkan rasionalnya dahulu. Jika sekalian rakyat dan pemimpin negara mahukan K Rajagobal diberi anugerah Datuk, mereka seharusnya meletakkan penanda aras yang lebih tinggi untuk menjadikan K Rajagobal layak untuk menerima anugerah tersebut.

K Rajagobal harus membuktikan konsistensi pasukan negara dengan mempertahankan kedudukan pasukan negara dalam ranking FIFA ataupun lebih baik dari sekarang. Pada situasi sekarang, pasukan Malaysia masih berada di bawah negara Thailand, Indonesia dan Singapura. Adalah lebih manis jika anugerah Datuk diberikan setelah pasukan negara dapat memintas kedudukan ketiga-tiga pasukan Asia Tenggara di ranking FIFA. Kita tidak mahu lihat pasukan negara hanya dilihat sebagai 'Raja Sehari' sahaja dalam industri bola sepak Asia Tenggara. Kita juga harus 'membiarkan' K Rajagobal melatih dalam tempoh 3-5 tahun lagi untuk melihat tahap konsistensi pasukan negara. Jika berjaya, marulah kita layak menggelarkan pasukan Harimau Malaya sebagai 'Maharaja' bola sepak Asia Tenggara.

Tidak perlulah kita meletakkan penanda aras yang terlalu tinggi seperti menjuarai Piala Asia mahupun Piala AFC. Berjaya memasuki pusingan kalah mati dalam kedua-dua kejohanan ini sudah memadai untuk menunjukkan pasukan negara kita sudah layak untuk memberikan saingan yang lebih hebat kepada gergasi-gergasi bola sepak Asia yang lain. Begitupun, apa yang ditagih oleh rakyat sebenarnya bukanlah kejuaraan semata-mata, apa yang mahu kita lihat adalah semangat berjuang pemain tanah air untuk sentiasa memberikan persembahan yang konsisten dalam setiap permainan yang dimainkan walaupun akhirnya kita alami kekalahan. Jangan pula kita menggunakan alasan 'kita sama seperti pasukan Sepanyol' iaitu setelah menjuarai Piala Dunia, negara tersebut mengalami beberapa kekalahan mengejut termasuk dibelasah Portugal dengan 4-0.

Walaupun tinggi penanda aras yang diletakkan kepada K Rajagobal, salah satu faktor yang boleh menjamin kejayaan pasukan bola sepak negara ialah penyokong itu sendiri. Janganlah kita bermimpi mahukan segalanya tetapi kita hanya melihat, tidak menyalurkan sokongan. Janganlah menaburkan bunga ketika menang, menaburkan tahi ketika kalah. K Rajagobal mahupun segala pemain yang ada di tanah air ini tidak akan lengkap sekiranya tiada penyokong. Secara tidak langsung, penyokong jugalah yang menjadi salah satu penyebab untuk K Rajagobal menerima anugerah Datuk. Bukan kerana berjaya meletakkan pasukan negara di peringkat yang tertinggi, tetapi berjaya menjadi simbol perpaduan rakyat Malaysia yang berbilang kaum, agama dan bangsa mahupun fahaman politik.

Marilah setiap seluruh rakyat jelata, kita sentiasa memberikan sokongan tak terputus-putus kepada pasukan negara, di kala mereka di puncak mahupun tenggelam di dasar. Kita tidak perlu lagi menunggu anugerah Datuk diberikan kepada K Rajagobal, kita berikan 'anugerah' jiwa Harimau Malaya kepada pasukan bola sepak negara. Ketika itu, kita sama-sama layak bergelar 'Datuk' dalam jiwa Harimau Malaya. Malaysia Boleh!

*****
Nota Kaki:
1. Tidak lupa juga kepada Presiden FAM, DYMM Sultan Ahmad Shah; pengurus pasukan negara, Dato' Subahan bin Kamal; jurulatih-jurulatih skuad kebangsaan dan juga pihak kerajaan Malaysia melalui Kementerian Belia dan Sukan di bawah seliaan YB Dato' Sri Ahmad Shabery Cheek atas usaha yang tak putus-putus membantu pasukan negara.
2. Mak cik kantin di pusat latihan pun patut dipuji sekali.

Post a Comment

0 Comments