Mahasiswa UMP dipandang rendah?


1. Difahamkan bahawa kampus-kampus IPTA di seluruh Malaysia sedang berlangsung Pilihan Raya Kampus (PRK) di peringkat IPTA masing-masing.

2. UMP juga tidak terkecuali terlibat dalam PRK pada tahun ini untuk membuat pemilihan Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) bagi sesi baharu.

3. Sehubungan dengan itu, jawatankuasa jentera PRK dibentuk di kalangan staf JHEPA bersama pelajar untuk membantu melicinkan proses PRK.

4. Malangnya, untuk pemilihan kali ini, jentera PRK UMP hanya terdiri daripada kalangan staf JHEPA sahaja tanpa ada penyertaan dari pelajar. Inilah kali pertama sejak penubuhan UMP selama 10 tahun, jentera PRK kali ini tidak melibatkan pelajar langsung.

5. Alasan yang diberikan adalah pelajar tidak akan dapat melakukan tugas dengan baik dan pasti akan berlaku bias sepanjang PRK ini.

6. Dengan alasan yang diberikan, apakah mereka tidak mempercayai mahasiswa yang sememangnya komited untuk memberikan bantuan sedaya upaya untuk memastikan PRK kali ini berjalan lancar dan bersih? Apakah dengan penglibatan mahasiswa sebagai jentera akan mengakibatkan ketidak adilan kepada calon yang bertanding?

7. Dari perspektif yang telah ditunjukkan, terbuktilah bahawa mereka tidak percaya dan memandang rendah keupayaan mahasiswa untuk bekerja dengan profesional dalam kerja-kerja sebagai jentera PRK.

8. Jika dibalikkan kepada pihak JHEPA, apakah semua staf akan memberikan profesionalisme yang sempurna dalam pemilihan kali ini? Apakah mereka akan fokus dan komited dalam pemilihan ini memandangkan mereka membuat kerja adalah atas arahan orang atasan. Apakah dengan melantik staf dalam keseluruhan jentera, menjamin PRK kali ini bersih dari sebarang bias?

9. Apakah benar tiada 'calon JHEPA' dalam senarai calon pemilihan kali ini? Pastinya, segala staf juga adalah manusia. Pastinya jugalah, ada di kalangan calon-calon yang bertanding adalah calon favourite JHEPA. Apakah JHEPA mampu membuktikan calon favourite ini tidak akan mendapat kelebihan istimewa berbanding calon bukan favourite?

10. JHEPA haruslah bersikap profesional sebelum membuat spekulasi kepada barisan mahasiswa yang ikhlas untuk membantu dalam barisan jentera PRK. Mahasiswa yang menawarkan diri untuk membantu ini tidaklah menerima satu sen upah atau gaji untuk melakukan semua tugas, tetapi semangat untuk melihat kemajuan mahasiswa akan terus memacu ke hadapanlah yang mendorong mahasiswa ini untuk menawarkan diri untuk menjadi jentera PRK.

11. Mahasiswa bukan lagi bola sepak yang boleh disepak sana sini. Mahasiswa adalah satu aset kepada negara dan MPP itu adalah aset kepada survival mahasiswa. Dengan berlakunya situasi ini, dilihat ibarat mahasiswa telah 'dijajah' oleh staf JHEPA ibarat negara yang dikawal oleh kuasa asing!

12. Ayuh mahasiswa, tunjukkan kuasa mahasiswa anda! Jangan biarkan mahasiswa diperlekehkan dan diperkotak-katikkan oleh mereka yang tidak kenal akan kedudukan mahasiswa sekarang! Tunjukkan mereka kekuatan mahasiswa! Zaman kemahasiswaan adalah zaman untuk menunjukkan kredibiliti dan kelayakan seorang mahasiswa untuk menentukan masa depan sendiri tanpa ada pengaruh luaran yang negatif!

Post a Comment

0 Comments