Ulasan Penuh 'Ros Biru Untuk Dia'


Pengenalan
Ros Biru Untuk Dia merupakan satu novel hasil tulisan salah seorang rakan sekelas aku semasa di Tingkatan 4 & 5 dengan nama penanya Ijazati Habib. Novel ini merupakan novel pertamanya yang telah dicetak dan diterbitkan oleh Jemari Seni Sdn. Bhd. dengan kod ISBN: 978-967-5118-76-0.

Skop Ulasan
Skop ulasan yang akan aku lampirkan dalam entri aku ini adalah berdasarkan dari sudut pandangan aku 100% merangkumi perkembangan plot dan jalan cerita, watak dan identiti cerita novel ini.

Ulasan 1: Plot/Cerita
Permulaan bagi novel ini agak biasa dan klise dengan mana-mana novel dan drama dengan pengenalan watak Fakhrul, anak kepada pemilik firma arkitektur dan memiliki seorang teman wanita yang wataknya juga agak klise dengan rupa paras yang cantik, seksi dan mempunyai sikap yang tidak digemari oleh pekerja-pekerja Fakhrul sendiri. Namun begitu, pembangunan plot cerita berkembang dengan baik mengikut jalan cerita yang bersesuaian.

Walaupun plot cerita berkembang baik dengan kemunculan satu demi satu konflik, namun ada sesetengah bahagian, tempo ceritanya menjadi sekejap laju sekejap perlahan, tambahan pula semasa flashback Lyanna yang mengingatkan Adam. Walaupun falshback banyak membantu jalan cerita dan pembaca juga boleh terbawa-bawa dan terikut-ikut dengan penceritaannya, namun flashback yang terlalu panjang mengakibatkan tempo cerita menjadi semakin perlahan walaupun sebelumnya sudah timbul satu konflik penting dalam babak tersebut. Tanpa sedar juga, flashback itu juga serba sedikit menyebabkan pembaca meninggalkan dan melupakan seketika konflik yang masih hangat pada ketika itu.

Begitupun, perjalanan cerita dalam novel ini tidak mengecewakan dengan kewujudan beberapa bahagian misteri yang memberikan persoalan besar kepada penonton dari awal bacaan hingga ke hujung novel. Misteri yang diselitkan dalam novel ini juga sangat membantu dalam menentukan perjalanan dan permainan plot dan watak-watak utama novel ini. Konsep ini juga merupakan satu pujian kerana selain konflik Lyanna-Fakhrul yang banyak diketengahkan, masih terdapat perkara lain yang perlu 'diselesaikan' dalam novel ini.

Selain dari kekuatan jalan cerita itu sendiri, peranan watak-watak juga memainkan peranan besar dalam menjadikan jalan cerita ini lebih menarik. Perubahan sikap Fakhrul di tengah-tengah cerita dan penerimaan ibunya terhadap Lyanna meletakkan mood pembaca kepada satu kelegaan sementara sebelum satu lagi perubahan sikap terakhir yang berlaku pada Fakhrul. Peranan watak-watak pembantu seperti Puan Zakiah, Ashraff dan keluarga Lyanna dan keluarga Fakhrul banyak membantu perjalanan cerita.

Kejayaan sesuatu plot juga tidak akan tercapai dengan permainan emosi. Permainan emosi menjadi begitu penting bagi menentukan setiap babak dan penceritaan itu sampai kepada pembaca. Perasaan tegang, lega, marah, kecewa, sedih dan gembira banyak diselitkan dalam novel ini. Tidak kurang juga penggunaan hubungan kekeluargaan menjadi sangat berkesan dalam membangkitkan emosi sedih dan terharu, terutamanya apabila ibu kepada Lyanna menerima dan memaafkan Lyanna setelah sekian lama 'dibuang' dari keluarga sendiri. Perasaan cemburu juga berjaya dirakamkan semasa Lyana ternampak Adam bersama Syila di Sepanyol. Semangat setiakawan juga telah membantu kejayaan perjalanan cerita dalam novel ini.

Bagi bahagian penghabisan, antiklimaks telah disusun rapi dan graf penceritaan boleh dikatakan menurun mendadak dalam bab-bab terakhir novel. Kematian anak Fakhrul kandungan Lyanna memberikan penurunan graf secara mutlak apabila itu menjadikan hampir kesemua cerita dan tekanan telah dilepaskan untuk menutup cerita ini. Untuk penghabisan, pembaca dibawa secara santai dengan perasaan tenang dan menutup cerita dengan perasaan gembira.

Rating: 3.5/5

Ulasan 2: Watak Utama
Lyanna - Lyana, berumur 26 tahun dan bekerja sebagai arkitek di firma Datuk Ehsan. Lyanna merupakan fokus utama dalam novel ini dengan hampir 90% perjalanan novel ini melibatkan Lyanna. Diwatakkan mempunyai sifat kesopanan dan berpegang kepada ajaran agama serta memiliki paras rupa yang boleh menarik perhatian lelaki-lelaki di sekelilingnya. Seorang yang tabah dalam menempuhi segala dugaan yang menimpa dirinya. Selain itu, dia juga seorang yang sangat setia kepada bekas tunangnya, Adam namun mempunyai perwatakan yang sentiasa dalam dilema antara menyayangi bekas tunangnya itu atau mentaati suaminya, Fakhrul.

Walaupun menjadi watak utama, namun pengaruh watak Lyanna tidak terlalu dominan sehingga boleh menyebabkan penentu kepada jalan cerita yang lebih utama. Walaupun ada beberapa perkara dan keputusan yang dilakukan oleh Lyanna seperti menerima keputusan untuk berkahwin dengan Fakhrul namun keputusannya itu lebih didorong oleh keputusan bapanya dan bapa Fakhrul sendiri. Selain itu juga, keputusannya untuk mendermakan darahnya kepada ibu Fakhrul yang mengalami kecederaan akibat kemalangan telah mengubah jalan cerita yang ganas pada awalnya kepada keadaan yang lebih tenang di pertengahan cerita. Walaupun begitu, keadaan tenang ini tidak bertahan lama. Sungguhpun majoriti watak Lyanna ditunjukkan dengan ketabahannya mengharungi kehidupan yang tidak bahagia bersama Fakhrul, disisihkan dari keluarga sendiri dan terpaksa meninggalkan Adam, namun kisah hidupnya lebih kepada hanya mengarusi perjalanan cerita sahaja. Impak paling besar yang ditinggalkan oleh Lyanna hanya pada hujung-hujung cerita, setelah dia keguguran dan membuat keputusan untuk menolak Fakhrul untuk selama-lamanya. Untuk kejadia seterusnya, dia hanya reda dengan keputusannya untuk menerima bakal suaminya walaupun tanpa dikenalinya.

Dari segi kawalan emosi pula, pembaca pasti bersetuju menyatakan Lyana berjaya membawa perasaan yang berbagai mengikut suasana plot dan babak dalam cerita. Perasaan gembira, sedih, kelakar, marah, kecewa dan sebagainya berjaya dibentuk dan dibawa oleh watak Lyanna. Secara umumnya, watak Lyanna berjaya kerana kemampuannya menyampaikan mood dan perasaannya kepada pembaca dan memberikan kesan kepada pembaca itu sendiri.

Rating: 4/5

Fakhrul - Anak pemilik firma arkitektur milik Datuk Ehsan, diwatakkan sebagai seorang yang selalu bertukar teman wanita, pandai memikat wanita, bersikap panas baran, gemar membuat keputusan melulu tanpa usul periksa dan mempunyai ego yang sangat tinggi. Perkara paling utama yang ditunjukkan dalam watak Fakhrul adalah gemar membuat keputusan mengikut perasaan sendiri dan dan autokratik.

Pengaruh watak Fakhrul sangat besar dalam novel ini dengan peranannya sebagai anak Datuk Ehsan yang menguruskan firma ayahnya, menyelamatkan Lyanna dari perompak pada awal-awal cerita serta pasang surut sikapnya terhadap Lyanna sepanjang penceritaan dalam novel ini. Perkembangan watak Fakhrul secara langsung menentukan hampir kebanyakan jalan cerita. Permainan sikapnya juga membantu menjadikan jalan cerita lebih menarik dan mampu menarik pembaca dengan emosi yang sentiasa berubah-ubah. Tambahan pula, ketika pembaca hampir-hampir 'memaafkan' Fakhrul atas sikapnya kepada Lyanna sebelum ini di pertengahan cerita; Fakhrul berjaya 'mengkhianati' dan 'menipu' pembaca dengan perubahan sikapnya kepada asal selepas kejadian rompakan di rumahnya yang hampir menyebabkan Lyanna diperkosa. Pada hujung-hujung cerita, walaupun Fakhrul hampir-hampir digelar wira kerana berjaya menyelesaikan misteri-misteri sejak awal novel, namun segalanya sudah terlambat walaupun Fakhrul telah membuang segala egonya dan bertaubat atas perbuatannya sebelum ini. Penghujung 'hayat' Fakhrul dalam novel ini juga selari dengan perasaan pembaca yang tidak sanggup lagi memaafkan Fakhrul, seperti yang dilakukan Lyanna. Sekali lagi, watak Fakhrul berjaya mennggoyahkan perasaan dan prinsip pembaca yang membaca novel ini.

Dari segi emosi, watak Fakhrul sangat berjaya dalam membentuk perasaan benci kepadanya serta menimbulkan rasa kasihan kepada Lyanna. Pasang surut sikap Fakhrul juga berjaya mengubah perasaan benci Fakhrul kepada sayang di tengah-tengah cerita sebelum perasaan kebencian itu tiba kembali di bahagian ketiga novel ini. Permainan emosi oleh Fakhrul juga berjaya membentuk emosi yang pelbagai kepada watak-watak lain.

Rating: 4.5/5

Adam - Merupakan bekas tunang Lyanna yang menerima nasib malang apabila ditimpa kemalangan yang menyebabkannya lumpuh. Seorang yang penyayang, lemah lembut kepada wanita, taat kepada agama, mesra dengan orang kelilingnya dan tabah dan reda menerima segala ketentuan dalam hidupnya. Diwatakkan sebagai seorang yang telah kembali ke jalan yang benar setelah lalai dalam kehidupannya sebelum berkenalan dengan Lyanna di laman sembang.

Pengaruh Adam dalam novel ini juga agak besar, memandangkan banyak flashback yang ditunjukkan dalam novel ini melibatkan kehadiran Adam dalam kehidupan Lyanna. Tambahan pula, setiap flashback juga menceritakan segala kebaikan yang dilakukan Adam terhadap Lyanna; membawa pembaca kepada situasi banding-membanding antara Adam dan Fakhrul. Segala kebaikan yang diceritakan menyebabkan pembaca boleh jatuh cinta kepada Adam. Walaupun begitu, kehadiran Adam dalam novel ini lebih banyak di dalam flashback berbanding situasi semasa. Kehadirannya dalam situasi semasa tidak banyak memberi kesan dalam jalan cerita, namun masih mampu menentukan perjalanan cerita walaupun tanpa memunculkan dirinya seperti mengirimkan Kek Lapis Sarawak kepada Lyanna yang mengidamkannya. Pengaruh Adam mungkin akan menjadi lebih berkesan dengan meningkatkan kekerapannya untuk muncul di hadapan Lyanna, dengan menunjukkan prihatinnya kepada Lyanna dengan lebih jelas mahupun bayangan untuk memupuk perasaan yang lebih mendalam kepada Adam dan merasai kekecewaan Adam. Penceritaan mungkin akan menjadi lebih menarik sekiranya menerapkan lagi konflik dalaman Adam, dengan kekecewaannya kepada Lyanna yang berkahwin semasa dia di dalam koma dengan menjadi putus asa dengan segala rawatan doktor untuk memulihkannya supaya boleh kembali berjalan.

Dari segi permainan emosi, Adam membawanya lebih berkesan dalam setiap flashback yang muncul, namun setiap satunya hanya membawa emosi yang sama. Walaupun ada beberapa pembawaan emosi seperti kecewa, sedih, dan reda namun kesannya terhadap pembaca tidak berpanjangan selari dengan muncul-timbulnya dalam novel ini. Tambahan pula, Adam boleh dikategorikan sebagai lelaki paling baik dalam novel ini hanya mampu membawa perasaan yang biasa dibawa oleh watak paling bersih dalam drama mahupun novel iaitu sangat kurang permainan konflik dalamannya. Walaupun ada diceritakan pada beberapa babak dan di hujung novel, namun itu tidak cukup untuk membawa pembaca menguasai sepenuhnya perasaan Adam. Dari segi emosi, Adam berjaya menenangkan pembaca yang sentiasa tegang dengan sikap Fakhrul dengan kemunculan fashback yang kebanyakannya tepat pada masanya.

Rating: 3.5/5

Ulasan 3: Watak Sokongan
Puan Zakiah - Watak Puan Zakiah, iaitu ibu tiri kepada Adam banyak muncul bagi menguatkan lagi watak Lyanna dalam novel ini. Peranannya yang menjadi 'ibu' kepada Lyanna setelah disisihkan dari keluarga banyak memberikan kesan kepada jalan cerita novel ini. Dengan memiliki naluri keibuan  dan ketabahan yang sangat tinggi, Puan Zakiah telah memberikan pengalaman emosi yang berbagai kepada pembaca dengan menunjukkan kasih sayangnya sebagai ibu kepada Adam dan Lyanna, walaupun kedua-duanya bukanlah anak kandungnya sendiri.

Rating: 4.5/5

Ashraff - Ashraff adalah sahabat karib kepada Fakhrul dan pada masa yang sama juga adalah sepupu kepada Adam mengikut pertalian keluarga Puan Zakiah. Walaupun bukan sepupu yang sama darah dari satu keturunan, namun hubungannya dengan Adam sungguh akrab. Bertugas sebagai seorang peguam, Ashraff juga merupakan dari golongan orang yang berharta. Pada awal cerita, Ashraaf dikenalkan sebagai seorang yang sukar untuk meminati wanita, namun dirinya telah terpikat kepada Lyanna. Namun begitu, perasaannya dikorbankan setelah mengetahui Lyanna adalah bekas tunang Adam. Ashraff merupakan seorang yang mempunyai nilai setiakawan yang tinggi, dengan tidak meninggalkan Lyanna dan Adam ketika mereka ditempuhi dengan dugaan, di samping itu juga tidak meninggalkan Fakhrul, malah cuba untuk membantu menyedarkan tindakan Fakhrul walaupun dirinya sendiri agak sedih melihat perilaku Fakhrul terhadap Lyanna. Wataknya juga banyak memberikan kesan dalam jalan cerita dan sokongan kepada watak-watak utama.

Rating: 4/5

Sellena - Sellena dikenalkan pada awal cerita sebagai teman wanita Fakhrul yang seksi dan cantik tetapi memiliki sikap yang tidak digemari oleh pekerja Fakhrul. Walaupun pada awal cerita serba sedikit berjaya menanam tanggapan pembaca kepadanya sebagai watak antagonis utama, namun sangkaan itu meleset. Kemunculannya juga agak minima jika dibandingkan dengan seluruh perjalanan novel ini. Kesan watak Sellena juga tidak memberi apa-apa kesan besar kepada keseluruhan jalan cerita, melainkan sikapnya yang telah menyebabkan Fakhrul meninggalkannya pada awal cerita. Walaupun kehadirannya pada penghujung cerita berjaya 'menjawab' misteri dalam novel ini, namun tidak dapat dinafikan wataknya lebih kepada tempelan tambahan dalam novel ini yang hanya mampu memberikan kesan minima pada keseluruhan cerita. Walaupun begitu, jika diberi nisbah kemunculannya dengan tahap kesan kemunculannya dalam sebahagian babak novel ini; watak Sellena tidaklah seperti yang disangka kerana walaupun kemunculannya adalah minima, namun kemunculannya mampu menggerakkan suasana dan cerita pada sesuatu babak itu lebih berkesan.

Rating: 3/5

Zarul - Dikenali sebagai rakan sekerja Lyanna di firma Datuk Ehsan, dan juga pada masa yang sama memendamkan perasaan minatnya terhadap Lyanna. Kemunculannya juga tak banyak, namun apa yang boleh dipuji dengan watak ini adalah kemunculannya dalam tahap paling minima mampu berjaya mencorakkan hampir keseluruhan perjalanan cerita novel ini. Sesiapapun yang membaca novel ini pasti tidak akan menyedari kewujudan Zarul, namun dalam senyap telah berjaya menipu dan memperdayakan pembaca pada hujung-hujung cerita. Kekuatan wataknya juga boleh dipuji. Walaupun begitu, kesan antagonis Zarul mungkin akan lebih berjaya jika wataknya berjaya menjadi gunting dalam lipatan kepada Lyanna dan Fakhrul, dan pada masa yang sama sifat watak sebenarnya disorok sehingga ke akhir-akhir cerita.

Rating: 5/5

Ulasan 4: Identiti
Walaupun terdapat beberapa bahagian yang agak klise, namun identiti utama novel ini boleh diterima memandangkan novel ini telah berjaya membawa pembaca kepada pengalaman yang berbeza dalam setiap bahagian novel ini. Secara keseluruhannya, novel ini juga mempunyai kekuatan identitinya yang tersendiri yang mampu bukan sahaja membawa pembaca kepada perasaan yang berbagai, malah novel ini sendiri mampu menipu dan memperdayakan pembacanya sendiri.

Rating: 3.5/5

Penutup
Sebagai novel pertama tulisan Ijazati Habib, tulisannya boleh dibanggakan jika dibandingkan dengan statusnya sebagai penulis muda yang baru berkecimpung dalam dunia penulisan novel. Walaupun tidaklah sehebat penulis-penulis terkenal yang lain, namun peluangnya masih cerah untuk berjaya pada masa hadapan, sekiranya ia berusaha untuk menambah baik ruang-ruang yang masih boleh diperbaiki. Oleh yang demikian, rating keseluruhan novel ini yang diberikan oleh aku mengikut penilaian aku sendiri berdasarkan skop yang aku nyatakan pada awal entri ini adalah seperti berikut:

Rating keseluruhan: 4/5

Tahniah, dan berharap novel-novel yang akan datang bakan menjanjikan pengalaman yang lebih bermakna kepada pembaca.

-----

Untuk mendapatkan novel ini, sila klik [DI SINI].

Post a Comment

0 Comments