Struktur Sosial yang Mencengkam India


India ni, kalau dia tolak tepi kekastaan tu, pasti boleh maju. Mereka mempunyai banyak orang yang hebat dalam kejuruteraan dan teknologi. Aku juga kenal beberapa jurutera, teknokrat dan professor yang asal dari India. Hebat-hebat kesemuanya. India juga mempunyai sumber manusia yang banyak. Sepatutnya India mampu menjadi salah satu kuasa ekonomi yang disegani dan digeruni di dunia.

Namun, masalah struktur sosial India yang menjadi kelemahan utama mereka. Taraf kekastaan menyebabkan pengasingan sosial berlaku dan mengakibatkan sumber-sumber yang ada tidak dapat dioptimumkan untuk pembangunan negara.

Lain pula dengan China, walaupun dikuasai oleh kerajaan komunis, dasar ekonomi terbuka mereka dilihat berjaya memacu ekonomi mereka sehingga menjadi kuasa ekonomi yang digeruni dunia. Walaupun terdapat beberapa skandal yang boleh dipersoalkan, namun kita tidak boleh menyangkal kemajuan ekonomi China.

Antara faktor yang membantu perkembangan ekonomi China adalah struktur sosial yang berbeza berbanding India. Pengasingan sosial berdasarkan kasta atau kaum tidak terlalu ketara dan sumber manusia dapat digunakan secara optimum oleh China.

Selain itu, kewujudan Hong Kong dan Macau juga penting bagi China sebagai proksi dan pintu masuk kewangan global kepada China. Walaupun ditekan teruk oleh dunia, China masih mampu terus berkembang kerana negara-negara dunia rata-ratanya tiada masalah untuk berurusan dengan Hong Kong.

Pada masa kini juga, pertembungan politik China dan India menyebabkan tercetusnya sentimen anti-China di India. Akibat dari itu, banyak produk China diserang dan diboikot oleh penduduk India.

Malangnya, pada situasi global pada masa kini, memboikot atau menyerang jenama China tidak akan menjatuhkan China. Malah, tindakan itu juga boleh merugikan India sendiri kerana majoriti produk siap, bahan mentah dan sumber-sumber bekalan datangnya dari China. Jika mereka memboikot China, ekonomi mereka juga boleh runtuh.

India seharusnya melakukan sesuatu untuk menghapuskan sistem kasta dalam struktur sosial mereka. Mereka seharusnya didoktrin oleh kerajaan mereka supaya setiap masyarakat percaya bahawa setiap kaum dan bangsa manusia itu sama tarafnya dan tidak wajar dibezakan mengikut kasta.

Dengan itu, limitasi sosial di India dapat diminimakan dan pastinya hampir keseluruhan sumber manusia dapat dioptimumkan untuk tujuan pembangunan ekonomi, kejuruteraan, perubatan, ketenteraan dan lain-lain. Jika ini berlaku, India bakal dilahirkan semula sebagai salah sebuah negara yang menjadi pengeluar utama dunia, dengan produk terkenal dari India yang mampu menyaingi produk dari Amerika, Eropah dan China.

Jika berlaku konflik dengan China pun, penduduk India tidak akan hiraukan jenama-jenama China tanpa provokasi dan serangan. Mereka dengan mudah boleh berkata, “ah, biaq pi lah depa. Aku boikot depa, aku tak rugi apa pun” (dalam bahasa India).

Post a Comment

0 Comments