Tetapkan Halaju Minimum

Kenapa berlakunya kemalangan di jalan raya? Mari kita lihat satu persatu. Tidak dinafikan kecuaian manusia dan masalah teknikal kenderaan adalah penyebab utama. Tetapi di sebalik faktor mikro itu, terdapat banyak faktor makro yang lain yang turut menyumbang kepada terjadinya kecelakaan.

Pemandu seakan tidak mahu tahu bahawa mereka sebenarnya bertanggungjawab penuh ke atas keselamatan diri sendiri. Apatah lagi untuk memikirkan tentang keselamatan pengguna jalan raya yang lain. Tahap kesedaran tentang peri pentingnya mempunyai adab dan sopan yang betul ketika berada di jalan raya adalah amat kurang. Pematuhan kepada papan tanda dan arahan juga tidak begitu ketara.

Kita lihat senario berikut sebagai contoh faktor tidak beretika ketika memandu di lebuh raya. Dari pengamatan peribadi penulis ternyata di lebuh raya kita; terdapat begitu ramai sekali road hoggers dan road speedsters.

Memandu dengan memilih laluan tengah untuk bersantai adalah satu tabiat buruk. Apatah lagi ketika musim sibuk menyambut perayaan di mana kenderaan berduyun-duyun di kedua-dua arah menuju utara dan selatan. Jika dikira dari Slim River hingga ke Melaka, beratus buah kenderaan yang menjadi road hoggers.

Sedangkan di laluan kiri tiada kenderaan sama sekali. Pemandu yang memandu perlahan juga perlu beretika. Jangan bertapa di lorong memotong. Bak kata pepatah, kalau kail panjang sejengkal jangan lautan hendak diduga. Pandulah kenderaan enjin berkapasiti kecil kita di lorong sebelah kiri sekali. Elakkan bersantai memandu di lorong tengah apatah lagi di lorong laju.

Biarkanlah kereta berkapasiti tinggi menghuni lorong yang memerlukan prestasi. Tiada guna kita yang berenjin kapasiti kecil menghalang lalu lintas hanya kerana sikap kita yang mementingkan diri sendiri kononnya tak mahu ke tepi untuk mengelak berhimpitan dengan bas dan lori yang lazimnya menjadi penghuni lorong yang di kiri sekali.

Kerana keegoan ini tadi mungkin boleh memakan diri sendiri lantaran prestasi kenderaan kita yang tak cukup tinggi untuk kekal bersaing di lorong tengah atau pun kanan sekali. Akibatnya kemalangan terjadi apabila kenderaan kita disondol ke tepi.

Sudah sampai masanya bagi kerajaan menguatkuasakan saman dan denda kepada road hoggers. Adalah tidak adil jika kesalahan hanya dituding kepada road speedsters. Pendemokrasian denda di jalan raya harus ada supaya tiada pihak rasa teraniaya.

Konsep lebuh raya tiga lorong yang kita guna mungkin tidak akan mendatangkan faedah sama sekali jika pemandu Malaysia masih kekal dengan sikap pemanduan yang lama.

Lebuh raya yang semakin canggih dan maju perlu diselarikan dengan penambahbaikan etika dan adab di jalan raya di kalangan penggunanya. Secara analoginya, minda pemandu harus berada di kelas pertama jika mahu menggunakan kemudahan lebuh raya kelas pertama.

Jika dahulu semasa lebuh raya masih berlorong dua, pemandu santai memilih untuk berkubu di lorong kanan. Dan ini telah mengganggu atau menyekat kelancaran lalu lintas.

Sekarang dengan pengenalan berperingkat lorong ketiga, pemandu longlai masih juga mahu bermaharajalela. Lorong tengah dan lorong kanan tetap dijadikan laluan untuk bergedik santai.

Mereka dengan aman damainya memandu santai dengan kelajuan sekitar 80 km sejam di lorong berkenaan meskipun di lorong perlahan paling kiri langsung kosong tidak berpenghuni. Kelancaran lalu lintas tidak akan tercapai jika pemandu kita masih terus-terusan dengan cara pemanduan berhemah rendah begini.

Malah pelaburan ribuan juta ringgit kerajaan juga tidak akan membawa makna kerana kelancaran aliran kenderaan masih kekal sama seperti ketika berlorong dua.

Mungkin untuk mengatasi masalah ini, pihak berkuasa boleh mengambil kira untuk memperkenalkan tiga tahap kelajuan di lebuh raya. Dari Slim River ke Ayer Keroh, Melaka yang sudah mempunyai tiga lorong di cadangkan lorong kiri sekali untuk kenderaan berkelajuan 80 km , tengah 100 km dan laluan kanan berkelajuan 110 km sejam ke atas.

Untuk melengkapkan saranan, papan tanda kelajuan tersebut harus ada dan digazetkan supaya dipatuhi. Pemandu wajib berada di laluan lorong yang betul mengikut kelajuan masing masing. Ini pastinya akan membantu kelancaran lalu lintas terutama ketika musim perayaan.

Satu saranan lain yang mungkin boleh diambil kira adalah dengan memperkenalkan kelajuan minimum 80 km di lebuh raya. Lebuh raya sepatutnya bukan setakat mempunyai tahap kelajuan maksimum sahaja. Kelajuan minimum juga perlu ada untuk menjamin kesejahteraan pemandu.

Memandu santai

Ketahuilah, jika kelajuan boleh membunuh, jangan pula kita lupa bahawa road hogging dan memandu santai di bawah 80 km di lebuh raya juga boleh menjadi penyebab pengguna lain terbunuh. Pemandu joli katak di lebuh raya juga membantu menjadi penyebab kepada kemalangan.

Sehubungan dengan saranan itu, di masa perayaan kenderaan yang berusia 15 tahun ke atas mungkin perlu diharamkan daripada menggunakan lebuh raya kita. Ini adalah perlu bagi menjamin tahap kelajuan minimum dapat di patuhi.

Dari segi kebaikan terutama ketika musim perayaan, kelajuan minimum ini dapat membantu menyahkan aliran trafik dari sistem lebuh raya secepat mungkin dan sekali gus mengurangkan risiko kemalangan.

Manakala di jalan Persekutuan dan di jalan perbandaran, sikap bertimbang rasa perlu ada . Nyawa manusia jangan disamakan dengan nyawa haiwan ternakan yang berkeliaran di tepi jalan raya.

Jika melihat pemandu dari arah hadapan sedang memotong, kita yang datang dari arah bertentangan sepatutnya mengurangkan sedikit kelajuan kenderaan kita. Berikan peluang untuk kenderaan berkenaan memintas dan masuk kembali ke laluan asalnya.

Jangan kita berkeras kepala dengan mengekalkan kelajuan yang ada kerana silap peraturan, akan menyebabkan kemalangan yang meragut nyawa kita.

Satu lagi etika yang tidak baik dipandang mata adalah sikap mahu memecut dahulu ketika sampai di bulatan tanpa mempraktikkan ilmu yang diajar di sekolah memandu iaitu yang kanan harus didahulukan. Ini juga merupakan satu lagi punca lazim terjadinya kemalangan.

Untuk etika yang lain pula, sekiranya lampu isyarat tidak berfungsi, kita diajar untuk memahami bahawa kenderaan yang sampai dahulu di persimpangan tersebut diberikan laluan terlebih dahulu.

Tetapi berapa ramaikah antara kita yang benar benar mengikuti etika pemanduan berhemah sedemikian. Jika masing-masing bertoleransi begini, maka kemalangan pasti tidak akan terjadi.

Untuk mengatasi masalah pemanduan kurang beretika dan kurang berhemah ini, adalah dicadangkan pemandu yang memohon lesen baru diberi kursus etika di jalan raya. Subjek etika perlu dimasukkan sebagai salah satu dari isi silibus kursus berkenaan.

Manakala bagi pemandu yang lama pula, ketika membaharui lesen dan insurans perlu diberi risalah panduan pemanduan beretika di jalan raya.

Negara kita perlu mencontohi bagaimana pemandu Jerman dan Switzerland memandu di jalan raya. Lori berkonvoi di lorong paling kiri sampai berpuluh kilometer panjangnya. Laluan paling kanan tak pernah ada kenderaan yang bersantai menggunakannya.

Cuma sekali sekala kenderaan yang memecut laju menggunakannya. Di kedua-dua negara itu juga, road hogger dikenakan saman yang sama nilainya dengan saman kepada pemandu yang memandu melebihi had laju di Malaysia.

Walaupun di sana tidak ada saman dikenakan kepada pemandu laju namun jumlah kemalangan maut amatlah sedikit. Ini adalah kerana walaupun kenderaan dipandu deras meluncur di lebuh raya, pemandu laju ini tetap berhemah dalam pemanduannya . Adab dan etika tinggi masih ada di dalam diri walaupun memandu pada tahap kelajuan tertinggi.

Pemanduan tanpa had laju maksimum ini mungkin satu fenomena biasa di Eropah dan Amerika Syarikat tetapi idea berkenaan masih belum cukup praktikal untuk dilaksanakan di negara kita pada ketika ini memandangkan tahap etika dan pemanduan berhemah pemandu tempatan yang amat rendah.

Mungkin idea ini boleh dipertimbangkan oleh kerajaan dalam masa sepuluh tahun lagi. Selaras dengan kepesatan teknologi pemotoran di masa hadapan.

Jabatan Keselamatan Jalan Raya dan Jabatan Pengangkutan Jalan serta Kementerian Pengangkutan mungkin boleh memulakan kajian terperinci dan melihat potensi saranan tersebut dalam masa beberapa tahun lagi.

[Oleh SYED MAZLAN SYED MAT DOM, Utusan Malaysia, 7 Oktober 2008 / 7 Syawal 1429]

Post a Comment

1 Comments

  1. terima kasih kerana memaparkan artikel saya dalam blog u. komen la manayang tak ok. nanti saya pebaik. ada lagi artikel. berpijak di bumi nyata keluar kelmarin dulu. cuba lah komen.

    ReplyDelete

P/S: Kepada pemberi komen 'tanpa nama' atau 'anonymous' diharapkan dapat meletakkan nama samaran di kaki komen untuk menunjukkan keikhlasan anda. Terima kasih.

Emoji
(y)
:)
:(
hihi
:-)
:D
=D
:-d
;(
;-(
@-)
:P
:o
:>)
(o)
:p
(p)
:-s
(m)
8-)
:-t
:-b
b-(
:-#
=p~
x-)
(k)