Suka duka membaca blog

Kali ini, aku nak membuat satu pengakuan seumur hidup sepanjang karier aku sebagai pembaca blog. Bak kata orang putih, confession of a blog reader. Walaupun karier membaca blog ini tidak bergaji, tetapi pembacaan ini adalah atas keikhlasan dan kerelaan untuk menyelami setiap bait-bait kata yang ditulis pada blog mereka.

Namun begitu, kadang kala keseronokan membaca blog-blog ini juga tidak terbalas dengan 'layanan' tuan punya blog. Aku fikir, bukan aku seorang sahaja yang 'dilayan' sebegitu rupa, tetapi boleh kata seluruh dunia yang melayari blog mereka ini akan terasa 'layanan' yang tidak menyenangkan oleh pemilik blog.

Apakah yang dimaksudkan dengan 'layanan' yang tidak menyenangkan oleh pemilik blog tersebut? Apakah kepala aku diketuk dan perlu membayar tol, cukai taksiran, cukai eksais, cop imigresen dan lain-lain apabila melayari blog mereka? Takkanlah semuanya menyediakan 'layanan' yang tidak menyenangkan? Tidak, ada juga blog yang memberikan 'layanan' yang sangat menyelesakan. Apa pun, di sini, aku sertakan beberapa 'layanan' yang aku suka dan tidak suka apabila melayari blog-blog untuk aku memenuhi keperluan karier sebagai pembaca blog.
[MAKLUMAN: Setiap yang dinyatakan di bawah hanyalah pendapat peribadi aku sahaja dan tidak melibatkan pendapat majoriti pembaca lain. Jika ada persamaan, sokonglah pendapat aku, jika tidak, jom kita sangkalkan]

-----
1. Bahasa
[TAK SUKA] - Aku tak kisah apa bahasa pun yang mereka mahu gunakan sama ada bahasa Melayu atau Inggeris, malah bahasa Sepanyol atau Portugis pun aku boleh terima tetapi sertakanlah sekali terjemahannya. Yang aku kisah adalah mereka yang gemar merosakkan bahasa dalam penulisan mereka. Senang cakap mereka menggunakan bahasa rojak dalam penulisan mereka. Apa yang lebih menjengkelkan ialah mereka mengaku mencintai bahasa kebangsaan tetapi malangnya apabila dalam tulisan blog mereka, sampaikan aku tak tahu apa bahasa utama yang dia gunakan dalam penulisan mereka. Berikut adalah antara contoh yang pernah aku baca:


Hey! You tau kan yang I ni br je fikir yang I'm the one who should ambil the hadiah. But, takpe lah... lagipun hadiah tu heavy sangat! I xlarat la.

Apa perasaan korang apabila membaca penulisan begini? Pandai-pandai fikirkanlah.

[SUKA] - Aku sukakan penulisan yang menggunakan satu bahasa utama dalam penulisan mereka. Penggunaan ini tidak melibatkan penggunaan bahasa dalam entri yang berbeza. Aku akan lebih selesa untuk membaca penulisan yang lebih teratur dan tertib pengunaan bahasanya. Walaupun ada beberapa perkataan yang menggunakan bahasa lain selain yang digunakan sebagai bahasa utama, cukuplah sekadar menggunakan simbol '-', "-" ataupun menggunakan format itallic.

[KOMEN TAMBAHAN] - Aku menggalakkan mereka menggunakan bahasa daerah masing-masing untuk dipromosikan kepada semua pembaca di seluruh dunia. Namun, nyatakanlah sekali maksud perkataan-perkataan dari dialek daerah masing-masing. Sambil berkongsi cerita, boleh pula bersama-sama berkongsi ilmu warisan negara. Tak begitu?

2. Singkatan
[TAK SUKA] - Dalam menggunakan singkatan, aku sangat tidak sukakan singkatan-singkatan yang langsung aku tak fahami apa yang cuba mereka maksudkan. Memanglah bebas untuk menulis apa yang mahu dilontarkan dari hati, tetapi biarlah dengan mudah untuk orang lain baca. Inikan tidak, semakin dibaca semakin tak faham. Kenapa suka sangat menggunakan singkatan-singkatan dalam penulisan blog secara berleluasa? Oh, mungkin jugalah merekan sangkakan setiap aksara (character) yang ditaip itu sama seperti SMS, kena jimat ruang untuk jimat kredit.

[SUKA] - Aku pun tidaklah terlalu menentang dalam penggunaan ejaan atau perkataan singkatan, tetapi adalah lebih sesuai sekiranya kita menggunakan ejaan penuh dalam penulisan. Setidak-tidak pun, gunalah perkataan atau ejaan singkatan yang telah diterima oleh Dewan Bahasa dan Pustaka.

3. Warna Tulisan
[TAK SUKA] - Aku tak suka apa yang ditulis itu tidak nampak pada skrin komputer aku. Bukan masalah saiz, tetapi warna. Adalah sangat tidak wajar apabila warna latar menggunakan warna putih, tulisannya pula menggunakan warna kuning ataupun cyan. Ada satu lagi kes, apabila warna latar hitam, tulisannya pula berwarna biru gelap. Namun begitu, tidak semua kombinasi warna cerah-gelap itu sesuai untuk digunakan. Contohnya apabila menggunakan warna latar hitam (#000000) dengan menggunakan tulisan putih (#FFFFFF). Ini akan menyebabkan mata si pembaca tersilau dengan kecerahan tulisan yang terlampau. Namun begitu, menggunakan warna latar putih (#FFFFFF) dan tulisan hitam (#000000) merupakan kombinasi universal yang paling sesuai untuk digunakan.

[SUKA] - Menggunakan kombinasi warna tulisan yang sesuai untuk memberikan keselesaan kepada pembaca. Malah, adalah lebih menarik apabila warna tulisan itu digunakan untuk melambangkan sesuatu seperti merah untuk marah, amaran, bahaya dan lain-lain; biru untuk ketenangan, santai dan harmoni; dan warna-warna lain yang difikirkan sesuai. Namun begitu, jangan pula melebih-lebih. Silap-silap akan menjengkelkan pembaca pula.

4. Iklan
[TAK SUKA] - Aku tak salahkan pemilik blog menyediakan ruangan iklan dalam blog mereka. Ini adalah salah satu ikhtiar untuk menambahkan pendapatan sampingan mereka. Namun begitu, janganlah sampai kandungan iklan lebih banyak ataupun lebih besar dari kandungan utama blog. Kalau sampai begitu, lebih baik namakan sahaja blog itu sebagai blog iklan. Satu lagi perkara, diharap kepada mereka yang meletakkan iklan supaya menapis iklan-iklan yang untuk ditayang. Janganlah asyik semata-mata melibatkan 'kebahagiaan suami isteri' sahaja. Pembaca pun mahukan kebahagiaan juga, iaitu kebahagiaan dalam mebaca entri yang ditulis.

[SUKA] - Iklan yang diletakkan di dalam blog mereka tersusun rapi dan tidak berselerak. Ini memudahkan pembaca untuk membaca apa yang mereka ingin baca. Kepada yang menggunakan Nuffnang, Advertlets mahupun yang lain-lain, janganlah paksa pembaca untuk klik iklan korang. Biarlah mereka ikhlas klik. Lebih baik daripada dipaksa.

5. Pop Up
[TAK SUKA] - Aku amat tidak menggemari pop up sama ada pop up message mahupun pop up ads. Kedua-duanya amat menjengkelkan aku apabila melayari blog mereka. Perkara-perkara inilah yang mengganggu ketenteraman pembaca. Kadang kala, pop up ini semakin menjadi-jadi apabila menyebabkan beberapa tetingkap pop up keluar secara 'berjemaah'. Bagi yang menggunakan banyak widget, berpada-padalah. Jangan syok sendiri dengan menjadikan blog korang ini sebagai gudang widget.

[SUKA] - Aku cuma boleh menerima pop up yang sememangnya dikawal dengan baik untuk tujuan tertentu sahaja. Antara contohnya ialah untuk ruangan sembang. Namun begitu, sebaiknya elakkan pop up.

6. Muzik dan Lagu Latar
[TAK SUKA] - Secara peribadinya, aku sememangnya tidak menggemari muzik dan lagu latar. Tak kisahlah apa jenis jenre lagu pun. Ini akan menyebabkan berlakunya gangguan ketenangan semasa membaca blog. Selain itu juga, aku kebiasaannya akan mendengar radio secara talian ataupun mendengar lagu mp3 di dalam pemain media komputer aku. Apabila membuka blog yang dipasang lagu latar, ini akan menyebabkan perasaan menjengkelkan itu timbul. Maka, dengan jujurnya, aku akan mengelak untuk melayari blog-blog yang ada muzik dan lagu latar.

[SUKA] - Kalau nak dikatakan suka, aku tak suka pun, tetapi jika dah gian sangat untuk meletakkan lagu ataupun muzik latar, letaklah pemain (player) yang ada butang henti ataupun rehat (pause). Bolehlah aku klik pada butang tersebut untuk 'membisukan' blog tersebut.

7. Penyeri Blog atau Entri
[TAK SUKA] - Sejujurnya, aku tak suka membaca entri yang panjang berjela tanpa perenggan dan tanpa gambar untuk merehatkan mata seketika. Aku juga tak suka entri yang menggunakan terlalu banyak emoticon sama ada yang bergambar mahupun menggunakan simbol-simbol aksara. Nak guna sikit-sikit tak mengapalah, janganlah seperti menjadikan entri ataupun blog korang seperti kilang menternak emoticon. Sakit mata aku melihatnya.

[SUKA] - Meletakkan gambar ataupun merangka susunan entri yang panjang supaya menjadi lebih menarik walaupun tanpa gambar adalah amat menyenangkan hati aku. Aku pun dengan senang hati untuk membaca penuh entri tersebut dan memberi komen-komen yang bernas. Maka, kekerapan untuk aku melayari blog tersebut juga akan bertambah. Namun begitu, janganlah terlalu banyak gambar pula, nanti lambat pula nak stream entri yang satu itu sahaja.

[KOMEN TAMBAHAN] - Ada beberapa blog, yang terutamanya dimiliki oleh perempuan gemar betul untuk meletakkan gambar sendiri dalam setiap entri mereka. Bagi aku, janganlah sampai semua entri nak letak gambar sendiri sehinggakan entri yang membicarakan soal kucing yang dah mati pun letak gambar sendiri. Kalau muka sedih tak apa lagi, boleh pula meletakkan gambar yang sedang posing baik punya dan sedang tersenyum girang.

8. Disable right click
[TAK SUKA] - Aku sangat tak suka kaedah ini. Tambah-tambah lagi pada blog-blog peribadi. Aku bukannya nak copy and paste pun apa yang korang tulis. Tak ada fungsi pun mengapa perlu aku berbuat demikian. Ada pula yang aku baca, menyertakan pautan kepada laman web lain. Kebiasaannya aku gemar untuk membuka pautan yang disediakan itu pada tab ataupun tetingkap baharu. Namun, apabila disable right click digunakan pada blog tersebut, amatlah menyusahkan aku. Mujurlah ada cara lain iaitu dengan klik pada scroller tetikus aku. Apa yang lebih memberangkan aku adalah mereka melarang untuk kandungan blog mereka ditiru, tetapi ada pula entri-entri yang mereka letak pada blog mereka itu merupakan tulisan yang sememangnya ditiru seratus peratus dari blog ataupun laman web lain. Apa kejadahnya semua ini? Sudahlah tidak dikreditkan kepada pemilik entri tersebut.

[SUKA] - Maaf, aku sememangnya tidak pernah suka kaedah ini.

9. Blog Terhebat
[TAK SUKA] - Untuk Perkara 9 ini agak lebih universal. Ada beberapa pemilik blog ini meletakkan apa yang ditulis pada blog merekalah yang paling segala-galanya. Paling betul, paling tepat, paling benar, paling bagus, paling cantik, paling menarik, paling itu paling ini. Aku sangat tidak menggemar blog sedemikian rupa. Malah, ada yang tidak boleh menerima komen-komen yang bercanggah dengan kehendak mereka.

[SUKA] - Nak diikutkan, aku tak suka cara takbur ni, tetapi kalaulah benar mereka ada menang anugerah blog terhebat dalam apa-apa kategori, maka bolehlah mereka berbangga sedikit. Namun, jangan lebih-lebih, nanti menjengkelkan pembaca pula.

10. Meluahkan Perasaan Secara Terlampau
[TAK SUKA] - Aku sememangnya tak suka blog ini digunakan untuk meluahkan perasaan secara terlampau. Apa yang dimaksudkan terlampau itu adalah melibatkan fitnah, membuka aib orang, mencarut, melontarkan cacian, mencetuskan perbalahan, menyentuh sensitiviti agama, kaum dan keamanan komuniti setempat dan negara. Contoh yang terbaik adalah blog yang korang sedang baca inilah, sedang meluahkan perasaan tidak puas hati semasa membaca blog. Melampau betul aku ni, ingat aku sahaja yang betul! (Terkena aku semula... haha!)

[SUKA] - Nak lontarkan perasaan puas hati itu boleh. Namun biarlah dengan berhemah dan terkawal. Gunalah perkataan yang paling baik dan janganlah menggunakan cara yang melampau. Namun, bukankah mendoakan kebaikan kepada semua pihak dan memaafkan adalah lebih baik? (Macam ustaz pula aku ni)

-----

Kalau nak senaraikan semua sekali, tak larat aku. Setakat ini, biarlah ini sahaja yang aku nyatakan. Sama-samalah kita nilai semula diri kita. Aku tak semsetinya yang terbaik, tetapi sekurang-kurangnya kita dapat menilai semula siapa kita.

Post a Comment

6 Comments

  1. tak suka blog yang banyak gna bahasa sms..huhu..


    My latest entry : Aksi Chelsea Juara Liga Inggeris Musim 09/10 !

    ReplyDelete
  2. nak buat macam mana. suka atau tidak. blog depa bukan blog kita.

    ReplyDelete
  3. thats good lah...aku tau blog aku agak kasar..mmg kasar pun hahahaha..

    ReplyDelete
  4. blog kasar pun ade gak yg best. blog yg baik pun best gak. Variasi semuanya. Lagipun kita sebagai pembaca kena bersikap terbuka. Tp betulla, kalu carut atau emo terlebih dan memburukkan org tue..mmg x patut la. manusia2..

    ReplyDelete
  5. Assalaamu`alaikum saudara..
    saya setuju semua yang saudara tulis kat atas, cuma faktor bahasa kasar itu saya rasakan perlu dalam beberapa kes. Kadang-kadang bahasa kasar boleh menjadi satu motivasi kepada pembaca. itu cuma pendapat saya, kalau salah tolong perbetulkan ye :)

    salam blogger dari saya.

    ReplyDelete
  6. Mungkin menggunakan bahasa kasar itu baik untuk beberapa keadaan, namun bagi saya bahasa kasar ini tidak sesuai untuk digunakan sewenang-wenangnya (mungkin bagi orang lain, lain pendapat)

    ReplyDelete

P/S: Kepada pemberi komen 'tanpa nama' atau 'anonymous' diharapkan dapat meletakkan nama samaran di kaki komen untuk menunjukkan keikhlasan anda. Terima kasih.

Emoji
(y)
:)
:(
hihi
:-)
:D
=D
:-d
;(
;-(
@-)
:P
:o
:>)
(o)
:p
(p)
:-s
(m)
8-)
:-t
:-b
b-(
:-#
=p~
x-)
(k)