Krisis Mesir: Apa yang patut rakyat Malaysia mengerti

Sejak pertengahan Januari yang lalu, Mesir mengalami pergolakan politik terbesar sejak pemerintahan Presiden Mesir, Hosni Mubarak. Krisis ini berpunca daripada ketidakpuasan hati rakyat Mesir terhadap kepimpinan Mubarak yang gagal menjaga kebajikan rakyat miskin dan mengawal tekanan taraf hidup rakyat miskin di Mesir. Akibatnya, berjuta-juta rakyat Mesir berdemonstrasi di seluruh Mesir untuk mendesak Mubarak menarik balik undang-undang darurat yang telah berpanjangan sejak tahun 1967 dan pada masa yang sama berkehendakan Mubarak meletakkan jawatan sebagai Presiden Mesir.

Ketua Pembangkang Mesir, Mohamed ElBaradei memberikan ucapan kepada penyokongnya. - Sumber: CBS News.

Situasi yang genting ini turut mengakibatkan ancaman kepada pelancong dan pelajar asing yang berada di Mesir. Rakyat Malaysia juga tidak terkecuali dengan apa yang berlaku.

Kebelakangan ini, banyak kritikan dikeluarkan kepada kedutaan Malaysia dan kerajaan Malaysia dalam usaha menyelamatkan rakyat Malaysia. Namun begitu, apakah rakyat Malaysia benar-benar faham situasi yang berlaku di sana? Kita yang berada di sini haruslah rasional sebelum mengkritik sesiapa tanpa soal selidik dan hanya mendengar khabar angin dari sumber yang belum tentu sahih.


  1. Kerajaan negara lain bertindak mengeluarkan rakyat mereka, kerajaan Malaysia hanya memindahkan ke negara lain.
    • Negara lain seperti USA mempunyai pengkalan tentera di Mesir dan mereka mempunyai hak untuk menggunakan pengkalan tentera itu untuk mengeluarkan rakyat mereka. Bagi negara Eropah yang mempunyai hubungan rapat dengan USA juga menggunakan pengkalan tentera ini untuk menyelamatkan rakyat mereka. Begitupun, rakyat yang dibawa keluar tidaklah dihantar terus ke negara masing-masing. Kebanyakan dari mereka dihantar ke United Kingdom dahulu sebelum dihantar ke negara masing masing.
    • Bagi kerajaan Malaysia, mereka tidak mempunyai hak untuk menghantar pasukan tentera melainkan dengan kebenaran pihak berkuasa kerajaan Mesir untuk membenarkan tentera kita masuk ke Mesir. Tentera Laut DiRaja Malaysia (TLDM) sudahpun berada di perairan Teluk Aden berdekatan Somalia dan di perairan Laut Merah untuk bertindak. Halangan besar kini adalah undang-undang antarabangsa yang menghalang mana-mana tentera luar yang bukan di bawah sekutu negara Mesir untuk masuk ke negara itu tanpa kebenaran Mesir. TLDM hanya menunggu lampu hijau dari Mesir untuk membenarkan mereka masuk ke wilayah Mesir untuk menyelamatkan rakyat Malaysia.
    • Evacuation planning oleh Malaysia adalah berdasarkan kemampuan kedutaan Malaysia dan kerajaan Malaysia untuk menyelamatkan rakyat Malaysia di Mesir. Strategi pertama adalah untuk mengeluarkan rakyat Malaysia dari Mesir ke negara jiran sebelum mereka dibawa pulang ke Malaysia. Kebiasaannya, kerajaan Malaysia bekerjasama dengan kerajaan Lubnan, Jordan dan Syria dalam hal-hal kecemasan seperti ini. Begitupun, Lubnan kali ini juga mengalami pergolakan politik yang hampir sama dengan krisis di Mesir, maka negara yang tinggal adalah Jordan dan Syria. Kebarangkalian untuk meminta bantuan dari kerajaan Arab Saudi adalah tinggi dalam situasi ini. Perpindahan melalui darat ke Tunisia di barat Mesir adalah yang terbaik tetapi kebanyakan rakyat Malaysia berada di timur Mesir. Ini akan mengakibatkan kos tinggi untuk dibawa ke Tunisia. Begitu juga di selatan Mesir iaitu Sudan, yang mengalami masalah politik yang agak kritikal dan kemungkinan tidak selamat. Jalan darat ke timur pula adalah mustahil memandangkan sepandan timur Mesir adalah Israel. Perancangan jangka masa pendek ini adalah mengeluarkan rakyat Malaysia dari Mesir ke Jordan, Syria ataupun Arab Saudi sebelum pesawat Tentera Udara DiRaja Malaysia (TUDM) mengambil mereka di negara-negara tersebut.
    • Kapal TUDM hanya boleh mengambil rakyat Malaysia di pelabuhan di bahagian timur laut Mesir dan sekiranya kebenaran diberikan, TUDM boleh membawa pulang rakyat Malaysia beramai-ramai menggunakan kapal TUDM.
  2. Sebilangan pelajar Malaysia tidak dapat bantuan dari kedutaan.
    • Untuk pemakluman, jumlah pegawai di kedutaan hanyalah 20 orang sahaja berbanding 10 ribu rakyat Malaysia di Mesir. Nisbah seorang pegawai kepada rakyat kita di sana adalah 1:500. Kita haruslah faham jumlah pegawai yang ditempatkan ini adalah berdasarkan pada tempoh Mesir dalam keadaan aman, bukan ketika bergolak. Menambahkan jumlah pegawai dalam tempoh singkat adalah hanya satu tindakan yang tidak akan membuahkan hasil positif memandangkan Mesir sudah sedia kala begolak.
  3. Kedutaan tidak menjawab panggilan dan emel.
    • Berikutan krisis ini, kerajaan Mesir telah menutup semua talian telefon dan internet di dalam negara Mesir. Ini mengakibatkan sesiapa sahaja yang berasa di dalam negara mesir terputus hubungan dengan negara luar. Jika ada talian masuk pun, panggilan itu hanyalah sia-sia kerana mereka tidak akan perasan ada panggilan masuk kerana telefon tidak akan berdering di sana walaupun kita mendengar bunyi deringan masuk dari sini. Untuk menguji, sila cabut kabel telefon di rumah dan cuba dail nombor rumah anda.
    • Jika ada di antara rakyat Malaysia di sana yang berjaya membuat panggilan ke tanah air adalah satu rahmat dalam situasi begini.
  4.  Apa yang boleh mereka di sana lakukan.
    • Berkelompok/berkumpulan - Pastikan setiap pergerakan dan aktiviti dilakukan secara berkumpulan. Setiap kumpulan mesti ada sekurang-kurangnya seorang ahli lelaki.
    • Langkah bertahan - Berlindung di dalam rumah adalah salah satu strategi terbaik untuk jangka masa singkat. Setiap peralatan di dalam rumah boleh dijadikan senjata untuk mempertahankan diri.
    • Menyerang (jika perlu) - Mereka perlu menyerang jika perlu sahaja mengikut situasi tertentu sahaja. Pertahanan terbaik adalah dengan menyerang. Serangan ini perlu dilakukan sekiranya nyawa betul-betul dalam keadaan terancam.
    • Menjauhi kawasan panas - Mereka yang berada di sana pasti faham akan situasi di sana. Memahami pergerakan demonstrasi adalah penting untuk mengelakkan diri dari terserempak dengan penunjuk perasaan di sana dalam usaha untuk mencari bekalan makanan dan sebagainya.
    • Mengawal bekalan makanan dan perubatan - bekalan makanan adalah amat penting pada situasi begini. Membeli makanan makanan yang kering adalah yang terbaik memandangkan makanan kering boleh bertahan untuk jangka masa yang lama. Menggunakan makanan secara minima adalah strategi terbaik untuk memastikan bekalan makanan sentiasa ada untuk satu tempoh tertentu. Berpuasa adalah digalakkan.
    • Berhubung dengan kedutaan - Usaha berterusan untuk menghubungi kedutaan adalah amat penting untuk memastikan mereka sentiada mendapat maklumat terkini dari kedutaan bagi peroses menyelamatkan rakyat Malaysia dari Mesir. Pastikan perhubungan dengan kedutaan dibuat dengan lebih kerap berbanding cuba menghubungi sesiapa yang ada di Malaysia untuk menjimatkan penggunaan kredit/kos penggunaan talian telefon. Cara terbaik untuk menghubungi tanah air adalah dengan SMS ringkas.

Walaupun beberapa saranan di atas adalah tindakan asas yang boleh dilakukan, ini boleh membantu untuk menyelamatkan diri dalam situasi darurat. Cara ini juga adalah paling asas dilakukan dalam ketenteraan dari segi memastikan survival seseorang. Walaupun apa yang mereka lakukan di sana, sama-samalah kita mendoakan keselamatan mereka dan ketenteraman di negara Mesir.

*****
Nota Kaki:
1. Harap Mubarak meletakkan jawatan dengan segera. Janganlah dia jadi Firaun moden dalam zaman iPad ini.
2. Obama kurang menyerlah dalam krisis ini, OIC terus mendiamkan diri, Liga Arab terus senyap.
3. Mungkin Tum Mahathir boleh 'mengetuk' pahat OIC atau mana-mana pertubuhan Islam seluruh dunia untuk bertindak.

Post a Comment

0 Comments